BUTTERWORTH - Majlis Amanah Rakyat (Mara) merancang melahirkan 40,000 usahawan baharu dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) sebagai usaha mencapai 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang 2020. 

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Mohd Rosdi Ismail berkata, sasaran itu juga bertujuan bagi memastikan adanya kelangsungan pembangunan sosio ekonomi Bumiputera.

"Mara menyasarkan melahirkan sehingga 8,000 usahawan baharu setiap tahun selama lima tahun dan usaha itu bermula dari tahun 2010. Sehingga sekarang kita ada hampir 16,000 usahawan baru.

"Langkah itu penting bagi membolehkan negara memiliki kumpulan  usahawan yang berkebolehan mengurus perniagaan dengan lebih berdaya maju  dan mampu bertahan dalam pasaran domestik dan antarabangsa," katanya  kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Produk AFA Delight di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Focus Group Usahwan Belia dan Wanita serta Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang Datuk Arif Shah Omar Shah yang juga znggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya.
   
Mohd Rosdi berkata, Mara juga sedang rancak melahirkan  usahawan berstatus jutawan tulen selain daripada memantapkan lagi usahawan baharu melalui bimbingan.

"Kami menyasar untuk melahirkan 500 usahawan jutawan tulen yang  mampu menjana pendapatan syarikat tidak kurang daripada RM2 juta setahun menjelang 2015 dan kini 139 usahawan sudah berjaya dibentuk," katanya.

Katanya agensi itu juga akan meluaskan lagi rangkaian jaringan  dan kerjasama perniagaan dengan jabatan dan agensi kerajaan, industri dan  komuniti setempat secara lebih bersepadu, menyeluruh dan berterusan.

"Semua usaha dilaksanakan Mara menerusi pendekatan bersepadunya termasuk mengenal pasti industri yang berpotensi untuk diceburi,  menyediakan premis dan tempat melaksanakan perniagaan.

"Selain itu, kami juga menekankan usaha bimbingan bagi membantu  usahawan mengeluarkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai kebolehpasaran global bagi pasaran domestik serta luar negara," katanya. - Bernama