$entry.content.caption.value
Malaysia terus menerajui eksport Asean ke Amerika Syarikat (AS) meskipun jumlah eksport kurang 0.25 peratus kepada AS$23.694 bilion (RM71.6033 bilion) tahun lalu.
Perangkaan terkini pentadbiran AS menyatakan, walaupun jumlah eksport susut sepanjang tempoh 11 bulan itu, Malaysia kekal sumber import ke-18 terbesar untuk AS.
Pesuruhjaya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di New York, Mohd Mustafa Abd Aziz berkata, dagangan dua hala AS-Malaysia pada 2011 dijangka stabil tanpa banyak perubahan drastik.
“Angka bagi keseluruhan tahun ini belum diperoleh, namun dagangan dua hala pada 2010 bernilai AS$40 bilion (RM120.880 bilion),” katanya.
Mengenai perkembangan perdagangan, Mustafa berkata, berdasarkan perbincangan bersama komuniti perniagaan di AS, syarikat besar berminat melakukan kepelbagaian dan mengkaji negara anggota Asean selain hanya bergantung kepada China sebagai pembekal tunggal.
Menurutnya, pendapatan umum pengimport ialah produk buatan China mungkin lebih murah, namun kos semakin meningkat menjadikan bekalan dari negara itu semakin mahal.
Pembekal Asean pula, walaupun harga lebih tinggi, namun boleh dipercayai atas barangan berkualiti dan perkhidmatan selepas jualan.
Pengimport terbesar AS, Wal-Mart, juga sedang mengenal pasti bekalan dari Asean dalam usaha mengurangkan pergantungannya kepada China.
“Pasaran AS mempunyai keupayaan menyerap lebih banyak import dari Malaysia.
“Kami yakin apabila pengangguran menurun, ia mengukuhkan keyakinan pengguna dan membuka peluang kepada Malaysia,” katanya.
Katanya, sebuah syarikat Malaysia berjaya terlibat siri filem animasi Saladin yang dihasilkan dan diterbitkan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia.
“Animasi dan kesan teknik sebagai contoh, adalah bidang yang boleh diteroka syarikat Malaysia,” katanya.





