KUALA LUMPUR - Malaysia adalah tempat latihan yang sesuai untuk belajar bagaimana menjuarai dan mengurus kepelbagaian rakyatnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak.
Beliau berkata rakyat dibesarkan untuk menghargai budaya dan agama yang berbeza serta banyak lagi, mungkin tanpa disedari dan mempelajari tentang kekuatan kepelbagaian.
"Saya yakin bahawa ini adalah sebab kenapa, berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, Malaysia mempunyai lebih banyak syarikat multinasional yang berjaya seperti Petronas, Sime Darby, Axiata dan Genting," katanya ketika menyampaikan ucapan penerimaan bagi pihak penerima ijazah kehormat pada Majlis Konvokesyen Khas Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di sini, hari ini.
Nazir dianugerahkan Doktor Perniagaan manakala penyelidik Prof Emeritus Wang Gungwu menerima Doktor Undang-undang dan pentadbir WOU R. Padmanathan dianugerahkan Sarjana Pentadbiran.
Anugerah disampaikan oleh Canselornya Tun Dr Lim Keng Yaik.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Nazir, bagaimanapun berkata pemimpin syarikat-syarikat itu membesar dalam era 1960-an dan 70-an di Malaysia dan beliau tertanya-tanya sama ada kelebihan daya saing itu akan terus kekal pada tahun-tahun akan datang.
Beliau berkata konsep 1Malaysia adalah seruan yang paling berpengaruh untuk semua rakyat Malaysia untuk melihat kekuatan dalam kepelbagaian dan meraikan budaya yang pelbagai.
Katanya kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan yang luar biasa tetapi mudah dipecah-belahkan melainkan ia terus dipelihara dengan betul.
"Kita semua tahu bahawa kepelbagaian tidak mudah untuk diuruskan, apatah digembelengkan. Latar belakang etnik, agama dan kepercayaan yang berbeza telah menjadi punca kepada semua bentuk ketegangan, perbezaan, konflik dan peperangan di seluruh dunia.
"Di negara kita, pada 13 Mei 1969, kita membenarkan perbezaan kaum menguasai kita.
Saya hanya berumur empat tahun pada masa itu, tetapi peristiwa dahsyat itu selamanya terpahat dalam ingatan saya," katanya.- Bernama
- Penganalisis kekalkan saranan 'neutral' pada sektor automotif
- Aminvest gondol 2 anugerah pendapatan tetap KWSP
- Ringgit diniagakan lebih teguh minggu depan
- Bursa diramal meningkat minggu depan
- Jiwa Holdings terima kontrak RM6.645 juta daripada MSRSB
- Northport terima dua kren dermaga bagi operasi kontena
- Jualan kenderaan bermotor meningkat
- Tune Hotel Ahmedabad mula beroperasi
- Indah Water meterai MOU urus pembentungan di Afrika
- RHB Research kekal saranan 'beli' bagi Tan Chong Motor




