MALAYSIA tidak berhasrat untuk mengetepikan Inisiatif Belt and Road (BRI) China dan akan terus menjalin hubungan yang rapat dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming berkata pendekatan kerajaan baharu telah disalah anggap susulan keputusan membatalkan beberapa projek berkaitan Malaysia-China baru-baru ini.

“Justeru itu, alasan utama lawatan saya ini adalah untuk memberi jaminan kepada China bahawa Malaysia mengalu-alukan pelaburannya.

“Apa yang ingin saya tegaskan juga adalah penangguhan beberapa projek mega itu adalah disebabkan untuk melindungi kedudukan kewangan Malaysia dan bukan kerana kami meragui pelabur dari mana-mana negara, termasuk China,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada media China tentang khabar angin Malaysia tidak ingin meneruskan inisiatif itu.  

Kian Ming berkata BRI akan membuka lebih banyak peluang bagi pelabur, terutamanya dari Malaysia.

BRI dilancarkan pada 2013 dan merangkumi pelbagai inisiatif, di samping menghubungkan 65 negara menerusi laluan laut, udara, darat dan kereta api.

"Apabila pelabur China melabur di Johor, kita boleh hubungkan mereka dengan syarikat di Singapura. Di Pulau Pinang, kita ada industri elektrik dan elektronik yang telah kukuh yang boleh dimanfaatkan oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata minat yang ditunjukkan syarikat China terhadap Malaysia masih kukuh, dengan 10 daripadanya menunjukkan minat melabur di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

Kian Ming berkata beliau berharap dapat mewujudkan pemahaman yang lebih baik dan merancang meningkatkan hubungan dengan China daripada kunjungannya ke Nanning, bersempena dengan China Asean Expo ke-15 (CAEXPO) 2018.

Selain itu, beliau juga menjangkakan minat yang tinggi daripada sektor elektrik dan elektronik China serta yang berkaitan dengan Revolusi Industri Keempat (4.0), untuk melabur di Malaysia.  

"Banyak kilang-kilang China dalam industri pembuatan telahpun sangat maju. Apabila mereka membina kilang baharu di Malaysia, saya rasa ia akan menjadi kilang generasi baharu dengan automasi dan akan meningkatkan produktiviti serta keuntungan,” katanya.

Kian Ming berkata sektor elektrik dan elektronik menyumbang eksport terbesar ke China, dengan sebahagian besarnya datang dari Malaysia, dan produk itu kemudiannya dieksport semula ke Amerika Syarikat. - Bernama