MALAYSIA merupakan salah sebuah negara majoriti Muslim pertama yang mengiktiraf potensi pasaran halal global dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri sebagai enjin pertumbuhan yang berpotensi untuk ekonomi.

Kerajaan Malaysia menerajui pelbagai inisiatif halal melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Pameran perdagangan halal terbesar dunia, Pameran Antarabangsa Halal Malaysia (Mihas) yang dimulakan pada 2004 dengan visi menjadi pasaran halal global menempa pelbagai kejayaan.

Pameran utama dunia itu bertujuan mempromosikan sektor halal Malaysia dan berada di bawah naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti). 

Mihas berkembang daripada sebuah acara komersial kepada pameran perdagangan halal terbesar di dunia. Pada 14 tahun lalu, Mihas bermula sebagai platform berasaskan pengguna sebelum menjadi perintis untuk peniaga global.

Mihas adalah satu wadah di mana semua pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta dari Malaysia bekerjasama bagi mempromosikan perdagangan produk dan perkhidmatan halal, yang akan membawa kesan langsung kepada pembangunan ekosistem ekonomi Islam dunia.

Acara ini telah banyak menjadikan Malaysia hab bagi industri halal dan hari ini, apabila halal disebut komuniti perniagaan dunia memikirkan Malaysia.

Industri halal dan Malaysia menjadi begitu sinonim bahawa ia memberi manfaat kepada kredibiliti negara sebagai trend untuk industri.

Mihas 2017 akan mengetengahkan segmen dalam rantaian bekalan industri halal global seperti produk makanan dan minuman halal, farmaseutikal, kosmetik dan mesin, antara lainnya.

Tahun ini, sektor perkhidmatan, terutama perkhidmatan kewangan, logistik halal, e-dagang dan pelancongan  akan diperkenalkan.

Tahun lalu, Mihas menjana jualan RM.1.14 bilion, peningkatan empat peratus berbanding 2015.

Pembangunan sektor halal

Produk-produk halal di Malaysia mempunyai piawaian yang tinggi dan diterima baik di seluruh dunia. Pasaran halal kita mampu berkembang pesat. Selain itu, industri halal Malaysia diperkukuhkan dengan kewujudan standard dan piawaian halal.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian bersama Pengarah Unit Makanan, Biotek dan Halal Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mohd Aminuddin Sham Tajudin, mengenai Malaysia sebagai peneraju utama industri halal.

Apakah peranan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia?

Malaysia adalah salah satu daripada negara-negara majoriti Muslim pertama mengiktiraf potensi pasaran halal global dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri sebagai enjin pertumbuhan berpotensi untuk ekonomi.

Kerajaan Malaysia menerajui pelbagai inisiatif Halal melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Matrade serta Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Kepimpinan Malaysia di dalam industri halal global ini memang dikenali dunia. Menurut Global Islamic Economy Indicator, Malaysia terus menerajui ekonomi Islam dengan margin yang besar dengan ekosistem ekonomi Islam paling maju. Ia mendahului tiga daripada enam petunjuk sub-sektor termasuk sektor makanan, kewangan Islam dan perkhidmatan. 

Malaysia terus menerajui dengan piawaian halal yang terbaik. Malah, piawaian persijilan Halal Jakim adalah dihormati dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Malaysia sering dijadikan sebagai rujukan halal.

Apakah faktor yang mempengaruhi ekosistem industri halal negara sehingga begitu baik dan kondusif sekali?

Malaysia mempunyai ekosistem halal yang kondusif bagi pembangunan sektor halal. Ini dapat dilihat akan sokongan-sokongan yang diberikan dari segi polisi serta penglibatan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan seperti Miti, Mosti, Matrade, HDC, Mida, SME Corp, Jakim serta Jabatan Standard Malaysia. 

Antaranya, di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), pelan pelaksanaannya diperkemas, industri halal terus diberi penekanan kerana potensi pasaran globalnya sangat meluas dan permintaan yang sentiasa meningkat. 

Apakah potensi yang wujud untuk produk dan perkhidmatan halal buatan negara ke pasaran antarabangsa?

Berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Pew Research Center’s Forum on Religion & amp; Public Life. Populasi Muslim dunia ini juga dianggarkan meningkat sebanyak 35 peratus kepada 2.2 bilion menjelang tahun 2020, sekali gus merangkumi 27 peratus populasi dunia. 

Pasaran yang luas ini membuka peluang bagi syarikat Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerokai bidang perkhidmatan dan produk halal di luar negara sebagai satu lagi pilihan untuk menjana pendapatan. 

Matrade juga sentiasa mengadakan aktiviti mempromosi dagangan ke luar negara dan syarikat tempatan boleh mengambil kesempatan untuk menerokai pasarannya terutama dalam sektor makanan dan minuman, ramuan halal serta kosmetik. Sebagai contoh, pada tahun ini, Matrade akan menyertai pameran perdagangan antarabangsa seperti Gulfood di Dubai, Foodex di Jepun, dan Anuga di Jerman.

Ke manakah destinasi utama untuk produk dan perkhidmatan halal negara dieksport?

Pada 2015, nilai eksport produk halal telah meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM39.4 bilion berbanding dengan RM37.7 billion pada tahun 2014. Antara destinasi–destinasi utama untuk produk halal negara pada tahun 2015 adalah seperti China (RM4.77 bilion), Singapura (3.91 bilion), Amerika Syarikat (RM2.86 bilion), Indonesia (RM2.45 bilion) dan Jepun (RM2.21 bilion). 

Produk–produk halal utama yang dieksport ke luar negara pula adalah seperti makanan dan minuman (RM4.61 bilion), ramuan halal (RM1.25 bilion), kosmetik dan jagaan peribadi (RM912.04 juta), bahan berasaskan minyak sawit (RM788.44 juta), bahan kimia industri (RM178.69 juta) dan farmaseutikal (RM51.35 juta).

Apakah objektif Program Penyumberan Antarabangsa yang diadakan bersempena Mihas setiap tahun?

Program Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) anjuran Matrade adalah landasan yang menghubungkan syarikat tempatan dengan pembeli antarabangsa, di samping memberi peluang untuk mereka membincangkan peluang-peluang perdagangan melalui mesyuarat perniagaan yang diaturkan oleh Matrade.

Program ini akan membawa pembeli antarabangsa dan pengeksport Malaysia di bawah satu bumbung untuk berjumpa dan membincangkan peluang kerjasama melalui aktiviti pemadanan perniagaan. Dengan perkembangan sektor halal di peringkat antarabangsa, program ini akan memberi peluang kepada syarikat tempatan terutamanya syarikat PKS untuk menerokai pasaran antarabangsa dengan kos efektif.

Apakah matlamat dan jangkaan untuk Mihas 2017 tahun ini?

Pameran Mihas tahun ini akan menampilkan perubahan dari segi penambahbaikan cara ianya dipersembahkan kepada pengunjung. Pada tahun ini juga, ‘Malaysia International Islamic Lifestyle Exhibition (Mile) akan diperkenalkan dan merupakan pameran yang dianjurkan selari dengan Mihas 2017.

Pengenalan Mile adalah bukti kepada usaha Malaysia untuk menggalakkan produk yang mengikut syariat Islam di tahap global. Pameran ini akan memperkenalkan bahan bukan guna habis dan produk gaya hidup Islam yang berkaitan serta perkhidmatan yang bertujuan untuk mencetuskan minat dalam perniagaan dan perdagangan yang lebih besar.

 

 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.