KUALA LUMPUR - Malaysia adalah negara ke-12 paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan, demikian menurut laporan "Menjalankan Perniagaan" Bank Dunia Edisi 2013.   
   
Kedudukan itu meletakkan Malaysia mengatasi negara-negara seperti Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28).
   
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kedudukan terkini Malaysia itu merupakan peningkatan yang memberangsangkan dari tempat ke-18 sebelumnya dan pada kedudukan ke-23 pada 2010 dan ini menunjukkan haluan daya saing yang meningkat sejak empat tahun yang lalu.
   
"Peningkatan enam anak tangga di tempat ke-12 pada tahun ini merupakan lonjakan paling tinggi dalam kedudukan daya saing Malaysia," katanya.
   
Laporan itu mengkaji 185 ekonomi merentasi kriteria daya saing seperti kemudahan memulakan perniagaan, kelulusan mendapatkan lesen, kecekapan pentadbiran cukai dan kemudahan menjalankan perdagangan rentas sempadan.
   
Malaysia memperbaiki kedudukan daya saingnya dalam lima bidang menjalankan perniagaan, iaitu Kemudahan Bekalan Elektrik (dari tempat ke-59 ke tempat ke-28); Pendaftaran Hartanah (dari tempat ke-59 ke tempat ke-33);

Pembayaran Cukai (dari tempat ke-41 ke tempat ke-15); Perdagangan Rentas Sempadan (dari tempat ke-29 ke tempat ke-11) dan Urusan Permit Pembinaan (dari tempat ke-113 ke tempat ke-96).
   
Bank Dunia meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-empat di dunia dalam kategori "Melindungi Pelabur" dan di tempat pertama seiring dengan Afrika Selatan dan United Kingdom, dalam kategori "Kemudahan Mendapatkan Pinjaman."
   
Bank Dunia juga mengakui bahawa Malaysia adalah antara 10 negara di rantau Apec yang melakukan pembaharuan yang melakukan paling banyak kemajuan ke arah amalan kawal selia.   
   
"Malaysia mengalu-alukan penemuan oleh Bank Dunia. Ia mengesahkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berdaya saing dan menggambarkan kejayaan Kerajaan dalam pelaksanaan memperbaiki persekitaran perniagaan serta menjadikannya lebih kondusif untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi," kata Mustapa.
   
Bank Dunia juga memperakui agenda pembaharuan Kerajaan adalah  didorong oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan Unit Pengurusan dan Prestasi Perlaksanaan (Pemandu).    
   
Mustapa berkata ini menggambarkan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam dan kecekapan keseluruhan jentera Kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
   
Katanya kerajaan juga komited dalam inisiatif pembaharuan strategik untuk menjadikan Malaysia negara paling berdaya saing di dunia.
   
"Matlamat kita adalah untuk mencapai kedudukan 10 teratas di dalam Laporan Bank Dunia yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur tempatan dan asing," katanya.
   
Laporan Menjalan Perniagaan 2013 adalah edisi ke-10 di dalam siri laporan tahunan dan terbitan bersama Bank Dunia dan Perbadanan Kewangan antarabangsa.
   
Laporan itu bermatlamat mengukur peraturan perniagaan bagi syarikat domestik secara objektifnya dengan memfokuskan pada transaksi, undang-undang dan institusi yang disempurnakan berbanding persoalan generik, berasaskan persepsi mengenai persekitaran perniagaan.
   
Ia mewakili petunjuk kuantitatif mengenai peraturan yang boleh diguna pakai syarikat pada peringkat berbeza pada kitaran kehidupan masing-masing.
   
Laporan tahunan itu meliputi 11 bidang dan 185 ekonomi berbanding dengan 183 pada 2012 dengan dua kemasukan baharu, Barbados dan Malta.
   
Di rantau Asean, Malaysia menduduki tempat kedua selepas Singapura tetapi di hadapan Thailand, Indonesia, Vietnam, Brunei, Filipina, Kemboja dan Laos.
   
Mustapa memberi jaminan bahawa Pemudah akan terus melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan persekitaran perniagaan.
   
Ini termasuk proses merekayasa perniagaan di dalam pelbagai proses dan prosedur pelesenan, pelaksanaan kemudahan e-pembayaran berasaskan web bagi pembayaran online di seluruh negara dan memperhalusi pusat sehenti bagi proses kelulusan pelan bangunan.
   
"Pemudah akan terus menyandarkan pada kerjasama sektor awam-swasta bagi menyediakan input bagi isu-isu dasar yang relevan yang memberi kesan bukan sahaja pada persekitaran perniagaan malah juga kepada matlamat rakyat dan pembangunan negara," kata Mustapa.
   
Bergerak ke hadapan, katanya Malaysia perlu berhadapan cabaran untuk menjadi antara 10 negara teratas mudah melakukan perniagaan dan mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.
    
"Ini adalah berikutan kemunculan persaingan baharu dan ketidaktentuan ekonomi di seluruh dunia."
   
"Lebih banyak perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat jika kita mahu kekal di hadapan. Pemudah akan terus menjadi pemangkin bagi melakukan perubahan kepada daya saing Malaysia," katanya.
   
Mustapa berkata kerjasama awam-swasta akan dihalakan untuk mencari lebih banyak cara menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif dan memudahkan, melakukan semakan semula peraturan untuk memudahkan perniagaan bagi melakukan perubahan peraturan dan peraturan baharu, memastikan lebih banyak ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan sektor awam, menggalakkan liberalisasi perkhidmatan, membangunkan, menarik dan mengekalkan bakat dan meningkatkan tahap perkhidmatan sektor swsata. - Bernama