MALAYSIA dilihat lebih terlindung daripada risiko penularan kewangan pasaran pesat membangun (EM)  berbanding negara yang mempunyai hubungan dagangan dan kewangan langsung yang tinggi dengan negara sumber krisis, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi Asean RHB Research Institute Sdn Bhd, Peck Boon Soon dalam nota penyelidikannya berkata kejatuhan ketara Peso Argentina (ARS) mengikuti Lira Turki (TRY), sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai risiko kesan penularan dalam kalangan mata wang ekonomi pesat membangun.

"Mata wang dengan fundamental ekonomi yang lemah, seperti real Brazil (BRL), rupiah Indonesia (IDR) dan peso Filipina (PHP) turut berhadapan tekanan jualan, walaupun pada tahap yang lebih rendah, katanya.

"Walaupun ada persamaan dan tekanan jualan, kami percaya kesan penularan mungkin tidak akan merebak ke tempat lain di rantau ini," katanya.

Melihat kepada ARS, TRY dan BRL, beliau berkata fundamental ekonomi yang lemah dicerminkan dalam defisit berkembar mereka iaitu akaun fiskal dan akaun semasa dalam imbangan pembayaran, dengan kedua-dua Argentina dan Turki mengalami defisit akaun semasa yang besar dan semakin merosot.

Indonesia dan Filipina, dua negara utama Asean, juga mengalami masalah defisit berkembar, namun pada padangan kami, tahapnya tidak begitu serius seperti yang dialami oleh Argentina dan Turki,  katanya.

Sementara itu, Malaysia dan Thailand menikmati lebihan dalam akaun semasa, katanya.

Walaupun kedudukan fiskal kedua-dua negara berada dalam kedudukan defisit, ia terkawal dan meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi ketidaktentuan dalam pasaran kewangan.

Ketua Ekonom MIDF Amanah Investment Bank, Dr Kamaruddin Mohd Nor pula memberitahu Bernama bahawa pada minggu lepas,  sentimen negatif yang wujud ke atas EM, secara tidak langsung melanda ringgit walaupun asasnya kukuh.

"Tidak seperti negara terjejas seperti Indonesia dan India yang mengalami defisit kembar, pegangan asing yang tinggi dan risiko kenaikan harga komoditi, penunjuk makro Malaysia kekal kukuh.

Akaun semasa negara masih positif dan imbangan perdagangan dijangka bertambah baik dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, jika sentimen negatif berterusan, ringgit mungkin menguji tahap 4.20 berbanding dolar US sebelum berundur ke tahap 4.08 hingga 4.10," katanya.

Pada Jumaat, unit tempatan susut kepada 4.1435/1465 berbanding dolar US daripada 4.1430/1460 pada Khamis

Beliau juga berkata kesan penularan bersifat memenuhi keperluan sendiri, dengan masalah ekonomi di satu negara mendorong pelabur untuk menjual aset dalam ekonomi yang berhadapan risiko yang sama.

"Risiko penularan boleh menyebar melalui pasaran modal dan perdagangan. Kurangnya keyakinan perniagaan menjurus kepada penurunan pelaburan dan pekerjaan yang akan mempengaruhi aktiviti perniagaan, penggunaan dan pertumbuhan," katanya.

Sebaliknya, Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata Malaysia tidak terlalu terdedah kepada penularan pasaran mata wang.

Beliau berkata fundamental ekonomi Malaysia yang sihat akan membantu negara menarik pelaburan asing memandangkan eksport tetap kukuh dan berdaya saing.

"Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh, yang telah diterjemahkan ke dalam pertumbuhan yang mantap, kadar pengangguran yang rendah, dan inflasi yang terkawal.

"Malaysia perlu mengulangi pendiriannya kepada pelabur asing bahawa baki fiskal dan kedudukan akaun semasa masih tetap kukuh," kata Yeah.

Bagi sesebuah negara yang mahu tidak terlalu terdedah kepada faktor luar, beliau mencadangkan supaya negara kurang bergantung kepada peminjaman mata wang asing.

"Sekiranya kerajaan dapat mengimbangi perbelanjaan fiskal, selaras dengan hasil yang dijangka lebih rendah dan terus berhemat dalam perbelanjaan, saya percaya ekonomi kita akan terus positif," katanya.

Yeah juga berkata Malaysia boleh bertahan terhadap sebarang tindakan penarikan keluar pelaburan asing kerana rizab antarabangsanya melebihi AS$100 bilion.

Menurut Bank Negara Malaysia, rizab antarabangsa berjumlah AS$104.4 bilion pada 30 Ogos berbanding AS$104.2 bilion pada 15 Ogos 2018.- Bernama