MALAYSIA Aiports Holdings Berhad (Malaysia Airports) membuat pengambilan baharu seramai 229 pelatih anggota keselamatan (Avsec) bagi meneruskan usaha mengekalkan tahap siap siaga keselamatan lapangan terbang di bawah kendaliannya di seluruh negara.

Pengambilan baharu itu menambah jumlah kekuatan anggota keselamatan Malaysia Airports menjadi lebih 4,000 orang.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, Malaysia Airports mementingkan aspek keselamatan lapangan terbang dari segi pengendaliannya mahupun orang ramai susulan trend insiden keganasan yang berlaku kebelakangan ini.

"Kami sentiasa kekalkan tahap siap siaga melalui pelbagai cara seperti adakan perbincangan kerap dengan pihak berkuasa dan juga melakukan latihan simulasi insiden keganasan atau kemalangan.

"Sudah tentu kami akan teruskan usaha sebegini pada tahun ini mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Dalam pada itu, Badlisham turut menyeru pengguna lapangan terbang agar mematuhi setiap arahan dan peraturan keselamatan ditetapkan.

"Arahan dan peraturan ini bukan sahaja penting bagi keselamatan lapangan terbang, tetapi juga penting dalam menjaga keselamatan negara," katanya pada istiadat Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Anggota Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) di Sepang, semalam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :