PERNIAGAAN atas talian adalah perniagaan yang di adakan secara maya atau bersifat global.

Konsepnya sama seperti perniagaan biasa yang memerlukan kewujudan peniaga, barangan dan medium perniagaan iaitu premis perniagaan.

Namun, perbezaan ketara boleh dilihat antara peniaga biasa dan peniaga alam maya adalah, menjual barangan secara bersemuka atau dalam talian menggunakan platform seperti laman media sosial sebagai medium berhubung dengan pelanggan.

Kini, perniagaan dalam talian menjadi ikutan rata-rata pengguna internet. Malah, usahawan juga turut mengguna pakai platform itu untuk memasarkan produk barangan secara dalam talian.

Ia seakan sudah menjadi fenomena masyarakat yang mahukan semuanya mudah, cepat dan hanya di hujung jari.

Disebabkan fenomena itulah, MyBazar Malaysia yang ditubuhkan pada Oktober 2015, hadir dalam segmen e-dagang dan menjadi sebuah lagi instrumen  pilihan pengguna juga usahawan bagi memasarkan produk mereka.

Justeru, menjadi individu penting di sebalik MyBazar Malaysia, Aaliyah Soraya Mohd Darus, 33, selaku Pengarah Pemasaran platform ini gigih memastikan perniagaan atas talian ini mampu memberi pendapatan kepada usahawan luar bandar dan suri rumah dalam menjana pendapatan kerana ia sedikit berbeza berbanding platform perniagaan atas talian yang lain kerana platform ini hanya disasarkan kepada usahawan luar bandar dan Industri Kecil Sederhana (IKS).

Justeru, wanita ini tidak pernah berhenti mengorak langkah dalam memajukan platform MyBazar bersama misi memperkasakan peniaga tempatan dengan merangsang perniagaan di peringkat tempatan dan global.            

Pernah hilang arah fahami konsep niaga atas talian                

Mengenali wanita bernama Aaliyah Soraya ini, beliau memiliki berpengalaman luas dalam bidang pengurusan acara dan perhubungan awam sebelum ini dan melihat perniagaan atas talian sebagai sesuatu platform perniagaan yang perlu diterokai oleh semua masyarakat terutamanya usahawan.

Katanya, sebelum ini beliau pernah hilang arah tuju dalam memahami konsep perniagaan atas talian sehingga didedahkan mengenai perjalanan perniagaan itu sebaik menyertai Lazada Malaysia.

"Nak dijadikan cerita, pada peringkat awal sebelum sertai Lazada Malaysia, saya telah mendapat panggilan daripada seorang ‘mat saleh’ pada tahun 2012.

"Ketika itu, perniagaan e-dagang ini dan penjualan atas talian belum lagi dikenali umum. Malah, saya pun tidak faham. "Tapi saya mengambil risiko untuk sertai dan mulai membina kerjaya dalam syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang ini.

"Ketika di Lazada Malaysia, saya mengawal semua komunikasi, kandungan sosial, dan menghantar mesej kepada pihak berkepentingan, media dan orang ramai.

"Di samping itu, saya berperanan mengurus strategi dalam talian dan luar talian selain mempromosikan kempen dan mesej jenama utama,” katanya sambil memberitahu berada bersama Lazada Malaysia selama lima tahun.

Katanya, dia juga merupakan sebahagian daripada pasukan permulaan apabila syarikat dilancarkan pada Mac 2012, yang membawa kepada peningkatan pengetahuan dan pengalaman dalam Sosial Media, ‘Content Marketing’ dan pengoptimuman carian (SEO).

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya mendapat tawaran daripada pengasas dan pelabur Mybazar dari Dubai dan akhirnya menyertai dan mengemudi MyBazar Malaysia pada Februari 2017,” katanya.

MyBazar Malaysia ada keunikan tersendiri

Menurut Aaliyah, apa yang menyebabkan dia begitu tertarik sertai MyBazar Malaysia, kerana misi dan objektif yang jelas iaitu bagi menjana pendapatan dalam kalangan usahawan tempatan.

"Meskipun MyBazar masih baharu, namun ia mempunyai keunikan tersendiri di mana disasarkan kepada usahawan luar bandar dan IKS, jika dibandingkan kepada instrumen lain.

"Dengan teknologi dan platform yang kita ada ini, ia dapat memberi dan membuka peluang luas kepada masyarakat, untuk menyebar luaskan produk dan perniagaan yang dibawa, dalam masa sama menjana pendapatan serta merta.

"Saya percaya setiap usahawan luar bandar mempunyai jiwa dan naluri yang tebal dalam diri untuk menjual produk mereka dan di sinilah MyBazar hadir membantu,” katanya.

MyBazar tawar khidmat sokongan perniagaan

MyBazar (www.mybazar.com) adalah marketplace sosial yang memindahkan pengalaman membeli-belah kepada e-dagang tanpa mengira kekangan saiz, lokasi, belanjawan, dan teknologi peniaga.

Kata Aaliyah, aplikasi MyBazar boleh dimuat turun dari Google Play Store dan App Store Malaysia.

"Ia menawarkan marketplace e-dagang dengan sistem pembayaran dan penghantaran bersepadu di samping menyediakan pelbagai khidmat sokongan perniagaan.

Menurutnya, beliau akui jika mahu menyamakan MyBazar dengan Lazada atau instrumen lain dalam segmen e-dagang memang amat jauh sekali.

"Lazada sememangnya sebuah platform yang semua orang mengenalinya dan platform itu memang telah jauh ke depan, begitu juga dengan instrumen lain seperti Shopee dan lain-lain.

"Namun, MyBazar ada keunikan tersendiri di mana ia mempunyai strategi pemasaran lain daripada yang lain. Daripada itu, saya yakin MyBazar boleh menjadi pilihan kepada masyarakat dalam memilih produk yang dibawakan usahawan tempatan kita sendiri dengan kepelbagaian jenis produk tempatan yang dibawa.

"MyBazar melihat kepada situasi persekitaran dengan menyasarkan pasaran yang berbeza iaitu dengan menyasarkan usahawan luar bandar dan IKS. Kita mengambil pendekatan berlainan dengan instrumen telah sedia ada. Itulah sebenarnya keunikan MyBazar!" katanya.

Barangan Luarbiasa Eksklusif eUsahawan

Blee adalah singkatan kepada Barangan Luarbiasa Eksklusif eUsahawan, merupakan satu program dicipta khusus buat penjual tempatan di bawah program eUsahawan mempamerkan produk tempatan paling berkualiti di Malaysia pada harga berpatutan.

Katanya, program ini adalah yang pertama diterajui MyBazar dengan menyediakan saluran merentasi sempadan untuk produk-produk ini menembusi pasaran setempat.

"Blee adalah cetusan idea daripada program eUsahawan oleh MDEC. eUsahawan adalah satu inisiatif kerajaan mendidik penjual tempatan tentang perniagaan atas talian dan ekonomi digital.

"Blee tercetus daripada keperluan penjual tempatan ini untuk menjaja barang dagangan dan pengetahuan baharu mereka dalam perniagaan atas talian, menerusi satu pasaran.

"MyBazar telah dipilih sebagai syarikat e-dagang untuk meneraju program Blee dan ia bertepatan dengan objektif yang kami bawa.   

"Untuk menjadi penjual di platform Blee, boleh sertai program eUsahawan dan secara automatik layak jadi penjual di platform Blee.

"Faedah-faedah tersedia untuk peniaga Blee termasuklah, tiada kos tersembunyi sehingga tempoh tertentu, tiada komisen, yuran penghantaran atau pengendalian sehingga tempoh tertentu, sokongan peribadi dan latihan untuk menjual dan mengembangkan perniagaan secara atas talian, sokongan promosi dan pemasaran yang fokus peniaga di seluruh negara dan peluang mengeksport produk ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, keistimewaan Blee adalah ia platform eksklusif khusus buat penjual tempatan dan produk-produk tempatan, berbanding medan pasaran lain yang turut pamerkan produk dari China dan Taiwan bersama produk tempatan.