MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) kini sedang berbincang dengan 10 pihak berpotensi sebagai rakan pemilikan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokchen Istanbul (ISG).

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pengendali lapangan terbang itu yang berminat  mengekalkan pemilikan majoriti ISG dalam jangka masa pendek, mewujudkan nilai penting lapangan terbang berkenaan.

Ini katanya, mengundang minat banyak pihak berikutan kesukaran mendapatkan aset berkualiti di luar negara.

“Tambahan pula MAHB sebuah syarikat antarabangsa dengan reputasi baik di peringkat perniagaan.

"Oleh itu, ramai yang berasa selesa untuk menjalankan perniagaan dengan kami,” katanya pada taklimat media mengenai Perkembangan Perniagaan dan Prospek 2018 MAHB, semalam.

ISG catat kerugian sebelum cukai RM47.3 juta bagi suku ketiga tahun lalu, namun Badlisham jangka lapangan terbang itu mencatat semula keuntungan pada tahun kewangan 2018.

Mengulas impak caj perkhidmatan penumpang (PSC), katanya, caj lebih tinggi pernah dikenakan tetapi terbukti tidak memberi kesan ketara terhadap permintaan perjalanan udara berikutan kadar rendah.

“Malah, kadar di sini terendah di rantau ini. Walaupun berlaku kenaikan PSC antarabangsa pada tahun lalu, sektor itu sebaliknya catat peningkatan 14 peratus.

“Kami sedia maklum sensitiviti membabitkan soal ini kerana siapa pun tidak sanggup berbelanja lebih, terutama perjalanan domestik. Kerajaan sedaya upaya pastikan kadar itu rendah,” katanya.

Selain itu, MAHB mengunjurkan perbelanjaan modalnya meningkat 30 peratus untuk tempoh tiga tahun berikutnya sejajar usaha menambah baik, mengekalkan serta pengubahsuaian 10 lapangan terbang dalam rangkaiannya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana butiran sebenar keputusan kewangan syarikat bagi 2017.

Pada taklimat itu, MAHB memperuntuk RM52.5 juta tahun ini bagi penambahbaikan kemudahan dan ubah suai enam lapangan terbang kecil, termasuk RM42.1 juta untuk lapangan terbang di Sarawak. - Bernama