MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB)  dalam usaha memacu penyertaan serta bahagian Malaysia dalam industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

Ketua Jualan MAB, Yeoh Hock Thye berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama itu memandangkan PCEB dan rakan industrinya dapat memanfaatkan kesalinghubungan dan rangkaian MAB di peringkat global.

Pada masa ini, MAB menawarkan 45 penerbangan mingguan ke Pulau Pinang dengan membawa kira-kira 7,200 pengunjung.

"Hasil kerjasama strategik ini dapat memacu aliran penumpang kami di peringkat global ke Malaysia, khususnya Pulau Pinang serta mengetengahkan tawaran membabitkan MICE," katanya dalam ucapan perasmian di majlis pemeteraian itu di sini, hari ini.

Hock Thye berkata, pengunjung yang memilih Malaysia dan Pulau Pinang bagi tujuan perniagaan pelancongan juga berpeluang untuk mendapat manfaat daripada kemudahan persidangan yang diiktiraf antarabangsa dengan berlatarbelakangkan keindahan negeri itu.

Pada majlis itu, Hock Thye mewakili MAB manakala PCEB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ashwin Gunasekeran dan acara itu disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Guan Eng berkata, perniagaan berasaskan penganjuran acara merupakan sektor ekonomi yang semakin berkembang pesat di negeri itu, termasuk menyumbang RM808 juta kepada ekonomi pada 2016.

"Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada 1,251 acara pada 2016. Ini disusuli sejumlah 1,731 acara pada tiga suku pertama tahun lepas dengan impak ekonomi dianggarkan RM900 juta," katanya.

Beliau turut menyifatkan gandingan MAB sebagai rakan strategik akan membolehkan Pulau Pinang menawarkan perkhidmatan nilai tambah kepada penganjur acara-acara perniagaan, terutama dari segi tawaran tambang penerbangan pada kadar istimewa.

"PCEB dan penggiat perniagaan acara di negeri ini juga dapat memanfaatkan rangkaian MAB yang luas untuk mengetengahkan serta mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan di rantau ini," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MALAYSIA Airlines hari ini menerima pesawat A350-900 keduanya yang lengkap dengan paparan imej khas 'Negaraku.'
  • MALAYSIA Airlines hari ini melancarkan penerbangan Kuala Lumpur-Surabaya-Kuala Lumpur, dengan acara sambutan ketibaan dan pelepasan balik di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia.
  • MALAYSIA Airlines Bhd sekali lagi memperoleh peneraju baharu yang akan membantu mengemudi syarikat penerbangan itu meraih keuntungan dengan pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) baharunya.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Peter Bellew, berkata tidak ada campur tangan daripada sesiapa ketika beliau menjalankan tugasnya di MAS, namun beliau akan berpindah ke Ryanair kerana cintakan tanah air yang memanggilnya pulang ke Ireland.