JOHOR BAHRU - Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) akan melancarkan projek pertama tanaman nenas MD2 di Sarawak membabitkan keluasan kawasan 2,000 hektar.

Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd Anim Hosnan berkata, projek itu bertujuan memenuhi permintaan pasaran eksport ke negara China bagi nenas MD2 berikutan kedudukan Sarawak yang lebih hampir dengan negara berkenaan.

Katanya, projek perintis telah dijalankan di Kampung Padang Panjang Bau, Sarawak membabitkan kawasan seluas empat hektar dengan 100,000 pokok bagi penyediaan benih MD2 untuk keseluruhan projek itu.

"China merupakan antara eksport terbesar kota dengan permintaan 100 kontena nenas MD2 sebulan. Pada masa ini kita dapat menyediakan 20 hingga 24 kontena sebulan membabitkan empat syarikat berdaftar.

"Menerusi pelancaran projek di Sarawak ini kita harap dapat memenuhi permintaan eksport ke negara berkenaan selain untuk pasaran nenas tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Ikrar Bebas Rasuah LPNM Johor bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Wisma Nenas di sini, pagi ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Mohd Anim berkata, sehingga tahun lalu ladang tanaman nenas di seluruh negara berkeluasan kira-kira 13,000 hektar dengan nilai pengeluaran RM515 juta membabitkan 391,714 metrik tan pengeluaran.

Selain itu katanya, kira-kira 20 juta benih MD2 diperlukan sepanjang tahun ini dan menasihatkan pekebun agar menggunakan benih tulen berbanding benih tisu kultur bagi memastikan pengeluaran yang lebih berkualiti.

"Benih tisu kultur menyebabkan nenas yang terhasil berubah bentuk dan rasa, sebab itu kita galakkan pekebun dan peladang agar guna benih tulen yang telah kita tentusahkan kualitinya bagi mengawal kualiti pengeluaran MD2," katanya.

Sementara itu, seramai 266 penjawat awam LPNM Johor menyempurnakan ikrar bebas rasuah pada majlis berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :