SEJAUH manakah ia mampu bertahan untuk generasi seterusnya?

Ramai menganggap menyambung legasi bisnes keluarga adalah lebih mudah berbanding mengasaskan sesebuah perniagaan baharu.

Namun hakikatnya bukan mudah untuk mengendalikan perniagaan yang diwarisi daripada ibu bapa mahupun keluarga, apatah lagi jika individu itu tidak mempunyai semangat keusahawanan tinggi.

Keadaan itu ditambah pula dengan situasi ekonomi semasa dan keadaan pasaran yang tidak menentu, menjadikan perniagaan menghadapi cabaran untuk diteruskan sehingga generasi seterusnya.

Generasi kedua perlu bijak mengatur strategi perniagaan dan pemasaran lebih berkesan bagi meneruskan kesinambungan perniagaan warisan keluarga supaya lebih berkembang.

Jika tersilap percaturan, perniagaan keluarga yang puluhan tahun diusahakan bakal terkubur begitu sahaja, sekali gus menjejaskan periuk nasi mereka sekeluarga kerana ia menjadi punca pendapatan keluarga selama ini.

Berdasarkan laporan Tinjauan Perniagaan Keluarga 2016 yang dilakukan firma penyelidik pasaran, PricewaterhouseCoopers (PwC), sesetengah firma keluarga menguruskan perancangan strategik dengan baik, namun ada juga yang mengalami masalah harian dan jangkaan antara generasi.

Menurut laporan itu, 69 peratus daripada perniagaan keluarga di Malaysia mempunyai ahli keluarga dari generasi seterusnya bekerja dengan syarikat itu dan 31 peratus daripada perniagaan keluarga di negara tidak mempunyai rancangan penggantian.

Hanya 19 peratus perniagaan keluarga dalam tinjauan yang melibatkan 48 perniagaan keluarga di Malaysia, menyasarkan untuk berkembang dengan cepat dan agresif dalam tempoh lima tahun akan datang.

Begitu pun, masih banyak perniagaan keluarga di negara ini yang berkembang dan masih kekal sehingga generasi kedua dan seterusnya seperti empayar bisnes Naza, Mydin serta Boon Siew Honda dengan strategi perniagaan tersendiri.

Cabaran kekalkan perniagaan

Sebagai generasi kedua menguruskan perniagaan diwarisi daripada ibu dan bapanya, Pengarah Urusan JM Bariani House Sdn Bhd (JM Bariani House), Datuk Zulkarnain Mustapa berpendapat, tanggungjawab digalas begitu berat kerana ia melibatkan punca pendapatan keluarga.

Zulkarnain berkata, legasi perniagaan JM Bariani House yang diasaskan sejak 1980-an bukan sahaja dikendalikannya bersama dua adiknya, selain dibantu anaknya dan anak saudaranya pada masa terluang.

Zulkarnain (kanan) memerhatikan ibunya, Jamilah memantau kualiti masakan dan makanan dihasilkan di ‘central kitchen’ JM Bariani House.
Zulkarnain menjadi generasi kedua menyambung legasi perniagaan JM Bariani House.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini, ia amat mencabar buat kami untuk terus mempertahankan perniagaan keluarga sebab JM Bariani House bukan sahaja ada restoran, malah memiliki francaisi dan terpaksa menampung kos overhed yang tinggi.

“Tambahan pula, sejak dua tahun kebelakangan ini, operasi perniagaan agak perlahan disebabkan faktor ekonomi dan kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), selain harga barang tinggi. Ini merupakan cabaran paling sukar buat saya walaupun sebelum ini telah menghadapi pelbagai kesukaran mengembangkan perniagaan,” katanya yang mengambil alih perniagaan keluarga pada 1995, setahun selepas cawangan pertama Restoran JM Bariani House dibuka.

Justeru, Zulkarnain berkata, beliau perlu mencari alternatif lain bagi mengatasi masalah itu dengan meneroka segmen trak makanan, mencari lokasi strategik untuk pembukaan cawangan baharu dan mengeluarkan menu baharu dengan harga kompetitif.

“Pada masa sama, kami juga kena pastikan kualiti makanan dihasilkan adalah kekal seperti sebelum ini. Orang sudah kenal dengan ‘rasa’ JM Bariani House, jadi kami kena jaga kualiti.

“Sehingga hari ini, ibu saya, Jamilah Abu Bakar masih memantau bahagian dapur, masakan dan kualiti makanan dihasilkan,” katanya.

Sumber rezeki keluarga

Perniagaan warisan dilihat memberi kelebihan kepada keluarga itu sendiri kerana formula produk dihasilkan dapat dikekalkan dan diwarisi generasi seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Uniq Manufacturing Sdn Bhd, Mohamad Reza Fikry Nor Rezan berkata, generasi baharu dalam keluarga juga boleh belajar misi dan visi syarikat, menjadikan mereka lebih sayangkan perniagaan yang menjadi sumber rezeki.

“Walaupun perniagaan bukanlah bidang yang saya pelajari ketika menyambung pengajian di peringkat tinggi, saya terpanggil untuk menyertai perniagaan keluarga pada akhir tahun lalu dan mula serius sejak awal tahun ini kerana melihat potensi perniagaan keluarga untuk dikomersialkan besar-besaran.

“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah syarikat penerbangan terkemuka dalam bahagian kewangan, namun nekad berhenti kerja akhir tahun lalu untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan keluarga,” katanya.

Mohamad Reza Fikry (kiri) masih mendapat bimbingan bapanya, Nor Rezan menguruskan perniagaan keluarga.

Mohamad Reza Fikry mengakui mengendalikan perniagaan warisan keluarga bukanlah semudah disangka, sebaliknya ia memerlukan kreativiti dan kerja keras bagi meneruskan kesinambungan bisnes yang diusahakan bapanya, Nor Rezan Mohamad Nor.

“Bapa saya mempunyai kepakaran dalam bidang herba dan mampu menghasilkan produk. Sebaliknya, saya bukan datang daripada bidang itu.

“Jadi saya perlu belajar banyak perkara dengan bapa saya dan mereka yang pakar dalam bidang perniagaan bagi meneruskan kesinambungan empayar perniagaan keluarga,” katanya.

Selepas mengambil alih pengurusan Uniq Manufacturing daripada bapanya awal tahun lalu, Mohamad Reza Fikry membuat pembaharuan dengan melakukan penjenamaan semula dari segi pembungkusan dan strategi pemasaran bagi produk pengusir serangga dan binatang, penyegar udara serta bahan pencuci jenama Gramp’s.

Jenama Gramp’s yang diasaskan sejak 2006 dijual secara atas talian (online) menerusi laman sesawangnya, ‘online store’ dan 26 ejennya di seluruh negara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGURUSAN kilang keropok udang UMI, Assari Enterprise mengakui jualan produknya jatuh mendadak sehingga 50 peratus selepas tularnya berita berkenaan sebuah kilang keropok udang di Gopeng yang sengaja menggunakan logo sijil halal palsu awal Januari lalu.
  • DAGANG NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikatnya, DNeX Technology Sdn Bhd menandatangani perjanjian perlesenan jenama eksklusif dengan EC-Council International Ltd bagi membekalkan perkhidmatan perundingan dan nasihat keselamatan siber menerusi EC-Council Global Services.
  • MUMTAZ Meat & Marine Foods Sdn Bhd (Mumtaz Meat & Marine Foods), pengendali rangkaian Az-Zain Halal Mart menyasarkan untuk membuka 500 cawangan menjelang akhir tahun ini.
  • Perniagaan teh ais yang dianggap biasa di sekitar bazar Ramadan menjadi luar biasa apabila menggunakan kaedah promosi dan menjaga kesedapan minuman tersebut sehingga menyebabkan pelanggan akan beratur pada setiap hari.