KARNIVAL Usahawan Desa 2017 (KUD2017) menyasarkan RM10 juta kontrak antara usahawan dan pemain industri peruncitan negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata KUD kali ketujuh itu juga menyasarkan RM3 juta nilai jualan sehari sepanjang karnival tersebut berlangsung.

"Kelainan KUD kali ini ialah apabila kita peruntukan satu hari iaitu 19 Okt (semalam) program usahawan desa bersama dengan pemain industri perniagaan retail (runcit) seperti Mydin, Tesco, Lulu Hypermarket dan Aeon.

"Padanan perniagaan ini  bagi memberikan ruang usahawan dan pemain industri menjalinkan rantaian dalam perniagaan mereka," katanya ketika berucap pada majlis perasmian KUD2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ismail Sabri berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada pembangunan usahawan desa negara bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya sejak 2001 hingga kini seramai 3,796 usahawan telah menerima manfaat dari seluruh negara dengan jumlah sebanyak RM382.4 juta di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

"Antara keunikan SPED ini adalah kemudahan Muqasah yang diperkenalkan iaitu peminjam layak akan menerima geran sebanyak 30 peratus daripada nilai yang dibiaya sekiranya peminjam tiada sebarang tunggakan bayaran balik," katanya.

Pada majlis itu, seramai lapan usahawan menerima Anugerah Usahawan Cemerlang SPED dengan nilai Muqasah sebanyak RM308,460, yang disampaikan perdana menteri

Mereka ialah usahawan tepung serbaguna jenama Taqhif, Azman Alias, usahawan biskut dan makanan ringan, Siti Zurita Samad, Mohammed Yong (usahawan kelengkapan ibadat, sekolah, makanan dan pakaian), Mohd Asraf Arif (usahawan batik) dan Muhamed Amiruddeen Shah Dzulkepli (usahawan menjual basikal, alat ganti dan aksesori), Abdullah Sani Khalid (usahawan lembu (semi fidlot), Habsah Hussain (usahawan sos dan kicap) dan ,  dan Rosnizam Ishak (usahawan fabrik, Rosnizam Ishak).

KUD 2017, karnival dwitahunan yang bermula 19 Okt dan akan berakhir 22 Okt  itu disertai sejumlah 721 gerai dikendalikan usahawan, syarikat swasta dan agensi kerajaan serta 11 gerai KKLW dan agensinya.

Menggunakan slogan 'Usahawan Desa Produk Global' dan hashtag #supportlocal, KUD 2017 menawarkan jualan produk-produk usahawan desa terus kepada pengguna yang terbahagi kepada enam kluster iaitu makanan dan minuman, produk pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan dan ICT Kreatif serta perkhidmatan dan pelancongan.

Karnival itu turut merangkumi aktiviti utama seperti Hari Dagangan dan Padanan Perniagaan bersama 65 syarikat berpotensi, seminar keusahawanan, forum siswapreneur, persembahan kebudayaan, demonstrasi produk dan kraftangan serta demonstrasi masakan.-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.