LAPANGAN terbang menjadi simbolik sesebuah negara kerana ia merupakan destinasi dan 'pintu masuk' pertama sebaik sahaja pelancong tiba.

Di Malaysia, hampir semua lapangan terbang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) iaitu syarikat yang bertanggungjawab memastikan kapasiti lapangan terbang di seluruh negara mencukupi untuk menyokong dan meningkatkan daya saing di peringkat negeri dan kebangsaan.

Menelusuri sejarahnya, Malaysia Airports kini yang telah beroperasi selama 25 tahun sejak penubuhannya pada 1992, mengendalikan 40 buah lapangan terbang, iaitu lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik, 18 padang terbang dan memiliki sepenuhnya Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken (ISG) di Turki.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali berkata, Malaysia Airports merupakan salah sebuah syarikat pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang dan syarikat pengendali lapangan terbang pertama di Asia serta keenam di dunia yang disenaraikan di bursa saham.

Malaysia Airports turut menjalin kerjasama dengan Gyeongnam Techno Park & Skyways Technics dalam merealisasikan bandar lapangan terbang, KLIA Aeropolis.

"Fungsi utama dan kepakaran Malaysia Airports adalah mentadbir, operasi, penyelenggaraan dan pembangunan lapangan terbang.

"Sejak 15 tahun lalu, Malaysia Airports telah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan memberi kepakaran dalam bidang pengendalian lapangan terbang dengan mengendalikan beberapa lapangan terbang di luar negara seperti di Cambodia, Kazakhstan, Mauritius, New Delhi dan Hyderabad," katanya.

Pada tahun lalu, Malaysia Airports mencatatkan 118.5 juta pergerakan penumpang di semua lapangan terbang kendaliannya termasuk di ISG Turki.

Sehingga September lalu, Malaysia Airports mencatatkan pertumbuhan pergerakan penumpang 4.7 peratus atau 10.8 juta, berbanding tempoh sama pada 2016.

Cabaran seimbangkan tugas

Mengendalikan 39 lapangan terbang di dalam negara dan satu di luar negara bukanlah perkara mudah kerana ia memerlukan perancangan teliti, bagi memastikan semua operasi, pengurusan dan penyelenggaraan berjalan lancar.

Ia bagi memudahkan dan memberi pengalaman ceria kepada rakan-rakan syarikat penerbangan, agensi-agensi kerajaan dan juga penumpang yang menggunakan lapangan terbang tersebut.

Badlisham berkata, cabaran utama Malaysia Airports adalah untuk menyeimbangkan tugas-tugas mengendali sesebuah lapangan terbang.

"Selain keutamaan diberikan dalam menaik taraf lapangan terbang antarabangsa, lapangan terbang domestik turut diberikan perhatian sewajarnya.

"Malah, bagi memastikan kesinambungan setiap kawasan di Malaysia dan memudahkan pergerakan penumpang terutamanya yang terletak di kawasan pedalaman, 18 padang terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports juga mendapat perhatian yang sama seperti lapangan terbang yang lain.

Dalam memenuhi kehendak dan permintaan rakan syarikat penerbangan dan penumpang yang semakin meningkat, katanya, Malaysia Airports harus bergerak seiring dalam memenuhi keperluan kedua-dua pihak dengan menambah baik mutu perkhidmatan.

"Malaysia Airports memperoleh keuntungan melalui pungutan caj perkhidmatan penumpang yang juga dikenali sebagai Passenger Service Charge (PSC). Namun, jumlah caj yang dikenakan telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Malaysia Airports sentiasa berbincang dan menjalinkan kerjasama baik dengan kerajaan dalam memastikan caj yang dikenakan adalah berpatutan dan sewajarnya. Ini bagi memastikan kos-kos operasi penyelenggaraan dan pengurusan lapangan terbang adalah setimpal dengan caj yang dikenakan," katanya.

Selain itu, Malaysia Airports juga memperoleh keuntungan hasil daripada operasi aeronautik seperti fi pendaratan, parkir kapal terbang serta caj-caj tambahan kepada syarikat penerbangan.