PUTRAJAYA - Kos sasaran projek MY Rapid Transit (MRT) akan diketahui pada suku keempat tahun ini selepas semua 90 tender diberikan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Azhar Abdul Hamid, hari ini.

Beliau berkata, kos sasaran itu adalah agregat semua tender ditambah dengan boleh dibayar balik dihadkan pada RM2.8 bilion dan jumlah luar jangka dihadkan pada enam peratus daripada jumlah tender yang diberikan.

"Kami hanya akan mengetahui nilai tender penuh semua projek selepas ia diberikan. Keadaan akan lebih jelas menghala ke akhir tahun ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis permeterian MRT Corp di sini, hari ini.

Mengenai pembiayaan projek MRT, Azhar berkata projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pasaran modal.

"Ya, ia 100 peratus daripada pasaran modal... saya rasa ia adalah Sukuk daripada apa yang saya tahu.

"Berkaitan pembiayaan, ia telah dimuktamadkan. Tetapi saya tidak akan memberikan butiran terperinci kerana ini sedang diatur oleh Kementerian Kewangan menerusi anak syarikatnya, Dana Infra.

"Pihak yang sepatutnya memberikan butiran terperinci kepada anda mengenai pembiayaan projek itu adalah Kementerian Kewangan," katanya.

Sementara itu, MRT Corp hari ini memeterai perjanjian dengan MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, untuk melantik syarikat tersebut secara rasmi sebagai Rakan Penyedia Projek (PDP) bagi projek MRT.

Perjanjian itu dimeterai oleh Azhar dan pengarah-pengarah MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, Datuk Hasni Harun dan Datuk Azmi Mat Nor.

Perjanjian itu menggariskan tanggungjawab MMC Gamuda KVMRT dalam menyediakan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang mengikut KPI Kos Sasaran dan Tarikh Siap yang telah dipersetujui.

Pelantikan MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd sebagai PDP membolehkan projek MRT dilaksanakan dengan berkesan mengikut fasa berbanding melantik kontraktor siap guna mengikut model reka bentuk dan bina.

Menurut terma perjanjian, fi PDP adalah berjumlah enam peratus daripada nilai agregat keseluruhan Kontrak Pakej Kerja. Sekiranya jumlah kos projek kurang atau sama dengan kos sasaran, PDP layak untuk mendapat fi penuh.

Sekiranya kos projek melebihi Kos Sasaran, fi PDP akan dikurangkan mengikut formula yang telah dipersetujui.

Majlis itu juga turut menyaksikan MRT Corp memeterai perjanjian dengan HSS Integrated Sdn Bhd dan SNC-Lavalin (Malaysia) Sdn Bhd, melantik konsortium tersebut sebagai Jurutera Pemeriksa Bebas (ICE) bagi projek MRT.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Azhar dan Pengerusi HSS Integrated, Datuk Ir Rosman dan Pengarah Projek SNC-Lavalin (Malaysia) Jeff Hewitt.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.