QSR Brands (M) Holdings Bhd, syarikat pengeluar makanan bersepadu dan pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini dengan lebih daripada 1,260 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Widad Education Sdn Bhd bagi kerjasama mewujudkan peluang pembangunan, sokongan dan memperkayakan aktiviti penyelidikan dan program pendidikan dan latihan dalam bidang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, kerjasama strategik bersama Widad Education Sdn Bhd ini adalah salah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat untuk menyumbang dalam sektor pendidikan.

"Kerjasama QSR Brands meliputi penyediaan penempatan latihan industri kepada para pelajar Widad Education Sdn Bhd di dalam jurusan berkaitan dengan industri pengurusan restoran mengikut terma dan syarat ditetapkan dan penawaran tempat untuk pembelajaran berasaskan ‘work based learning’.

"Di samping itu, QSR Brands dan Widad Education Sdn Bhd akan berkongsi sumber dan kepakaran di dalam bidang tertentu, serta memberi peluang kepada anggota pekerja di restoran-restoran QSR Brands yang kompeten dan terlatih memperoleh pengiktirafan profesional khusus untuk pembangunan kerjaya mereka di dalam industri ini," katanya setelah menandatangani MoU berkenaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar di Royal Widad Residence UTM KL, Kuala Lumpur.

Majlis ini turut melibatkan MoU bersama  tiga lagi organisasi iaitu Mastem, Widyatama Universiti dan Esa Unggul Universiti serta disaksikan ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor Widad University College, Ketua Pegawai Operasi Widad Education Sdn Bhd, dekan-dekan fakulti.

Mohamed Azahari berkata, QSR Brands berbesar hati menyertai kolaborasi bersama Widad Education Sdn Bhd kerana ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab i di dalam menyumbang ke dalam pembangunan sektor pendidikan di Malaysia.

"Kerjasama ini juga memberi peluang kepada para pelajar memperluaskan ilmu dengan pendedahan awal dalam industri pekerjaan melalui latihan industri yang bakal dilaksanakan.

"Di samping itu, perjanjian ini memberi peluang peningkatan kepakaran anggota pekerja kami terutamanya di dalam bidang pengurusan restoran dengan menyediakan pengiktirafan profesional khusus dalam bidang pengurusan restoran bagi industri yang serba kompetitif ini.

"Kolaborasi ini dapat menyumbang kepada aspek pembangunan kerjaya anggota pekerja kami seterusnya memberi peluang buat QSR Brands terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan restoran terkemuka di Malaysia," katanya.