QSR Brands (M) Holdings Bhd, syarikat pengeluar makanan bersepadu dan pengendali rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut telah menandatangani sebuah memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk saling berkolaborasi melaksanakan pembangunan restoran di kawasan berpotensi di kampus induk dan Kampus Kejuruteraan USM, Pulau Pinang.

Dalam kenyataan medianya, QSR Brands berkata, MoU yang telah ditandatangani ini juga bertujuan mewujudkan kerjasama dan meneroka peluang membangun, menyokong dan memperkayakan aktiviti penyelidikan, program pendidikan dan latihan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

"QSR Brands dan USM bakal berkongsi kepakaran dan sumber membangunkan micro-credential degree dalam bidang pengurusan restoran dan pematuhan halal.

"Ini akan memberi peluang kepada anggota pekerja di restoran-restoran QSR Brands yang kompeten dan terlatih untuk memperoleh pengiktirafan profesional daripada USM khusus untuk pembangunan kerjaya mereka di dalam industri ini," katanya.

Di samping itu katanya, QSR Brands bakal menyediakan penempatan latihan industri dan peluang pekerjaan kepada pelajar USM di dalam jurusan berkaitan dengan industri pengurusan restoran mengikut terma dan syarat h ditetapkan.

"Manakala, USM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia, sedia menjalankan penyelidikan mengenai pematuhan halal serta penerokaan teknologi dan robotik yang berkaitan dengan perniagaan QSR Brands dan industri yang terlibat berdasarkan keperluan pasaran semasa," jelasnya.

MoU berkenaan ditandatangani Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail, dalam satu majlis di Kampus Kejuruteraan USM.