Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), mengendalikan 16 juta penumpang sehingga Mei lalu, peningkatan 5.1 peratus berbanding tempoh masa yang sama  tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, ia merupakan petanda baik KLIA mampu mencapai 40 juta penumpang menjelang hujung tahun ini, berbanding 37.7 juta tahun  lalu dan 34.1 juta penumpang pada 2010.

“Bagi suku tahun pertama tahun ini, KLIA mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus kepada 9,534,751 pergerakan penumpang berbanding 8,922,631 penumpang bagi tempoh masa sama tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas  menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-14 KLIA, Sepang semalam.

Beliau berkata, kapasiti KLIA kini ialah menampung 25 juta penumpang dan LCCT, 18 sehingga 20 juta. Justeru keperluan KLIA 2 amat diperlukan bagi menampung peningkatan pergerakan penumpang setiap tahun.

Menurutnya, kapasiti KLIA secara keseluruhannya dapat ditingkatkan sehingga 70 juta penumpang apabila KLIA 2 siap secara keseluruhannya nanti.

“Apabila KLIA 2 siap nanti, LCCT akan ditutup sepenuhnya di mana keseluruhan penerbangan tambang murah perlu berpindah ke KLIA 2, kerana kita telah menyediakan infrastruktur yang secukupnya untuk menampung pesawat  tambang murah,” katanya.

Mengenai sambutan ulang tahun beliau berkata, KLIA telah membuktikan peranannya sebagai antara lapangan terbang hebat dengan mendapat pelbagai pengiktirafan daripada dalam dan luar negara. - Bernama

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.