PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM), menandatangani perkongsian teknologi eksklusif dengan CanLaw Asia Sdn Bhd (CanLaw), mendorong peguam syariah memasuki dan melibatkan diri dalam ekonomi digital Malaysia.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, perkongsian eksklusif itu untuk membangunkan platform penemuan peguam Syariah-CanLaw Syariah, membolehkan orang ramai mencari dan membandingkan sebut harga sehingga tiga peguam syariah dalam satu masa.

“Hanya beberapa klik mudah, menjadikan industri perundangan syariah lebih mudah dan telus berbanding sebelumnya. 

“Terdapat juga senarai peguam syariah dalam talian yang dapat bantu orang ramai mencari peguam terbaik bagi kes mereka dengan mudah,” katanya.

Musa berkata, platform tersebut akan mengubah landskap pasaran undang-undang syariah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CanLaw, Loo Soon Yi berkata, pihaknya gembira dengan perjanjian itu di mana akan memudahkan akses segera kepada peguam syariah secara atas talian.

“Hasrat kami, untuk meningkatkan ketelusan dalam proses pencarian peguam dan membantu rakyat Malaysia mencari peguam berkualiti sesuai keperluan mereka,” katanya.

Selain platform penemuan peguam Syariah CanLaw, PGSM dan CanLaw akan bekerjasama mempromosikan penggunaan teknologi ini, di kalangan peguam Syariah Malaysia. 

Platform itu dijangka selesai dan dilancarkan pada Konvensyen PGSM pada 10 November ini. Aplikasi pendamping mudah alih untuk peguam, CanLaw Syariah Pro juga, perkenalkan tidak lama lagi.