• KFC perkenal ayam goreng sos istimewa Korea KFC perkenal ayam goreng sos istimewa Korea
1 /

Mendapat inspirasi daripada fenomena hiburan Korea, KFC Malaysia memperkenalkan hidangan ayam goreng baru KFC Spicy Korean Crunch di semua restorannya bermula semalam.

Ayam goreng disaluti sos istimewa Korea bersama adunan tujuh jenis cili berbeza dari seluruh dunia itu boleh dinikmati untuk tempoh dua bulan dan diyakini dapat menarik selera pelanggan di Malaysia.

Pengarah Urusan syarikat pengendali KFC Malaysia, QSR Brands Holdings Sdn Bhd, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, beliau percaya cita rasa penduduk Asia yang mempunyai persamaan dari segi makanan akan menjadikan produk terbaru itu popular.

“Kalau kita lihat, restoran Jepun atau Korea di negara ini juga begitu mendapat sambutan, jadi kami yakin KFC Spicy Korean Crunch akan diterima ramai,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran menu baru itu di Petaling Jaya, malam kelmarin.

Menurutnya, tinjauan pasaran juga menunjukkan pelanggan KFC sentiasa menantikan hidangan baru yang diperkenalkan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan pengalaman makan yang unik.

Ahmad Zaki berkata, QSR menjangkakan jualan KFC akan meningkat 20 peratus dengan pengenalan produk baru itu berdasarkan jualan baik yang dicatat bagi menu-menu istimewa sebelum ini.

Kombo dua ketul ayam KFC Spicy Korean Crunch dijual pada harga RM12.30 dan kombo tiga ketul ayam pula berharga RM15.50 yang dihidang bersama salad kentang dan jagung istimewa.
Ahmad Zaki turut memaklumkan KFC dijangka memperkenal tiga lagi produk baru sepanjang tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, promosi KFC sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 yang memberi diskaun 20 peratus bagi setiap pembelian Bucket dan Barrel KFC tidak akan menjejaskan pendapatan syarikat itu.

Promosi pilihan raya KFC bermula 9 April sehingga hari pengundian 5 Mei depan.