KERJAYA Prospek Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM211.6 juta daripada anak syarikat PPB Group Bhd, PPB Hartabina Sdn Bhd (PPBH), untuk melaksanakan pembinaan pembangunan bercampur di Petaling Jaya.

Cadangan projek itu yang akan diusahakan oleh anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, akan melibatkan pembinaan bangunan utama dan kerja luar, terdiri daripada pangsapuri berperkhidmatan 31 tingkat, podium parkir sembilan tingkat dengan kemudahan umum, unit pejabat/komersial empat tingkat dengan parkir bawah tanah dua tingkat dan unit komersial.

“Cadangan projek itu dijadualkan bermula pada 8 Disember 2018 dan dijangka siap pada 8 Jun 2021. Dengan kontrak baharu yang diperoleh ini, nilai perolehan kontrak semasa kumpulan berjumlah kira-kira RM3.08 bilion,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat tahun ini, Kerjaya memiliki kontrak bernilai RM989.8 juta dalam portfolionya.

“Ini merupakan projek pertama kami dengan PPB Group Bhd dan kami gembira memperoleh kontrak ini meskipun prospek kurang memberangsangkan bagi sektor pembinaan dan hartanah.

“Ini adalah pengembangan daripada jumlah pelanggan kami ketika ini dan projek itu meningkatkan nilai perolehan kontrak kami, menyediakan aliran pendapatan tambahan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” kata Pengerusi Eksekutif Kerjaya Datuk Tee Eng Ho dalam kenyataan itu. - Bernama