GAGASAN Badan Ekonomi Melayu (GABEM) akan menganjurkan Konvensyen Ekonomi Muslim ASEAN (KEMA), bagi merintis rangkaian jalinan perniagaan, syarikat dan usahawan Muslim dalam kalangan negara ASEAN.

Pengerusi GABEM, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, KEMA di jadual berlangsung dalam tempoh terdekat, selewat-lewatnya sebelum Jun ini, selepas mendapat persetujuan daripada dewan-dewan perdagangan dan perindustrian Muslim di ASEAN.

"Rantau ASEAN merupakan antara zon ekonomi yang paling pesat membangun dan berkembang. Namun, kedudukan dan pencapaian ekonomi masyarakat Muslim di rantau ini meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina dan Kemboja masih tidak mantap," katanya.

Jelas beliau, sebelum ini ada usaha untuk mengadakan jalinan hubungan tetapi banyak kekangan antaranya isu sosial, bahasa, agama dan politik.

"Sedikit sangat usaha merapatkan dan mewujudkan rangkaian jalinan dalam bidang ekonomi secara menyeluruh khususnya dalam kalangan masyarakat peniaga dan usahawan Muslim ASEAN dilakukan.

"Justeru, program konvensyen ekonomi Muslim serantau ini adakan menjadikan Malaysia sebagai peneraju kepada usaha mengangkat dan memperkasa ekonomi Muslim ASEAN," katanya kepada media pada sidang media KEMA, di Kuala Lumpur, semalam.

KEMA dirancang diadakan di Kuala Lumpur dengan melibatkan penyertaan syarikat perniagaan dan usahawan Muslim dari Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Rahim berkata, menerusi konvensyen itu, KEMA akan dijadikan sebagai wadah menemukan pada usahawan Muslim dari negara-negara terlibat untuk berbincang dan mewujudkan jaringan ke aras meningkatkan jaringan perniagaan mereka.

“Objektif konvensyen ini juga adalah untuk memberi peluang kepada wakil-wakil negara ASEAN menerangkan pengalaman, kemahiran, kemampuan syarikat-syarikat serta potensi peluang perniagaan dan perspektif kerjasama yang akan boleh diteroka melalui pembentangan kertas kerja masing-masing.

"Juga untuk merapatkan dan mewujudkan rangkaian jalinan perniagaan syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan Muslim dalam kalangan negara ASEAN seterusnya membolehkan syarikat dan usahawan ASEAN berbincang bagi meneroka peluang baharu yang boleh diceburi secara perkongsian atau kerjasama strategik,” katanya.

Beliau menambah, peserta-peserta terdiri daripada masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu Malaysia, delegasi syarikat, usahawan Muslim dari negara-negara serantau ASEAN.

"Kita optimis penyertaan peserta pada konvensyen ini akan mencapai 500 sehingga 1,000 orang," katanya.