PERMAINAN kanak-kanak menjadi antara produk yang hangat dijual di laman sosial.

Terdapat lambakan jualan produk seumpamanya di dalam pasaran tempatan dan disebabkan penawaran yang banyak, pengguna mempunyai pilihan lebih luas sebelum membuat sebarang pembelian.

Baru-baru ini, set permainan tanah liat dikenali sebagai Magic Clay menjadi antara yang menarik minat pengguna di Facebook dan Instagram.

Antara pembeli tertinggi adalah dalam kalangan ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka beralih daripada peranti mudah alih kepada permainan tanah liat.

Bagi Idyani Ismail, 34, dia membeli Magic Clay tersebut selepas melihat di Facebook dua minggu lalu.

"Anak-anak saya suka sangat dengan tanah liat ini kerana didatangkan dengan banyak warna dan acuan lain.

"Ia juga bagus untuk kanak-kanak sebab ia tidak melekit, senang digunakan dan tidak bersepah, sesuai dengan harganya yang berpatutan," ujarnya.

Katanya, tanah liat ini lain daripada yang lain berbanding tanah liat yang berada di pasaran.

Menurutnya, Magic Clay sangat ringan dan sesuai untuk kanak-kanak.

Katanya, sejak membeli tanah liat itu, anak-anaknya tidak lagi bermain telefon.

Sementara itu, Foo Xio Hann, 27, berkata, tanah liat yang dibelinya itu menarik perhatian anaknya sehingga tidak pernah berasa jemu walaupun bermain sehari suntuk.

Katanya, dengan harga murah, anaknya boleh mendapatkan permainan yang berkualiti tinggi dilengkapi dengan warna pelbagai dan acuan yang banyak.

"Ia sangat ringan, tidak melekit dan selamat untuk kanak-kanak kerana tidak mengandungi bahan kimia.

"Selain itu, tanah liat ini juga boleh dijadikan patung hiasan apabila dikeringkan," katanya.

Pun begitu, Xio Hann berkata, pengguna tanah liat Magic Clay perlu menjaganya dengan baik agar boleh digunakan lama.

"Selepas main, kita perlu kemas dan masukkan semula ke dalam bekas agar tanah liat tidak keras," katanya.

Permintaan bertambah

Pemborong Magic Clay, Nur Fariha Dorasol berkata, permainan itu baru sahaja berada di pasaran tempatan sejak dua bulan lalu.

"Pada awalnya tempahan produk adalah sedikit kerana ia mengambil masa yang lama untuk mendapat tempat dalam kalangan pembeli.

"Menjual produk permainan ini mengambil masa untuk dikenali, sebab ada yang mahu melihat maklum balas pengguna lain dahulu," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Oleh sebab itu, Nur Fariha akan membuat video permainan bagi menarik pembeli untuk membeli produk yang dijualnya.

Setakat ini, dia mampu menjual 20 hingga 30 set Magic Clay sehari menerusi kedai borongnya.

Manakala, 40 hingga 50 set sehari menerusi jualan daripada 30 ejen aktif.

Bagaimanapun, kebelakangan ini, jumlah jualan Magic Clay itu meningkat secara drastik sebanyak 70 peratus sehari berbanding jualan pada hari sebelumnya.

Nur Fariha berkata, mungkin kerana pembeli sudah mula mengetahui tentang kelebihan dan keistimewaan Magic Clay ini.

Magic Clay dijual dengan harga RM55 merangkumi 36 warna dan 60 aksesori.

Pilihan ibu bapa

Ejen Magic Clay, Muhammad Hafiz Kassim berkata, dia menerima permintaan yang tinggi daripada pembeli khususnya ibu bapa.

"Kebanyakan ibu bapa beli kerana ia mampu meningkatkan daya rangsang kanak-kanak.

"Bukan itu sahaja, ia juga permainan tanah liat lain daripada lain yang pernah ada dalam pasaran," katanya.

Selain itu, produk itu juga tidak melekit, tidak berbau, mudah dibentuk dan selamat untuk kanak-kanak berusia awal 3 tahun," katanya yang hanya menjual secara sambilan bagi menambah pendapatan.

Menurutnya, dia mampu menjual sehingga 40 hingga 50 set Magic Clay dalam tempoh satu bulan ini, sekali gus mencatatkan jualan lebih banyak berbanding produk lain yang dijualnya.

"Jualan semakin meningkat setiap hari dan banyak membantu menjana pendapatan tambahan kepada saya," katanya yang memberi tumpuan jualan pelbagai produk di Facebook Anakku.Tanpa.Gajet.

Bagi perancangan jangka panjangnya, Muhammad Hafiz berharap untuk menjual Magic Clay ke taska, tadika dan pra-sekolah.

Tetapi buat masa ini, dia perlu melihat trend jualan dan permintaan pelanggan terlebih dahulu berikutan produk tersebut masih baru di pasaran.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUSRAWI International College (Picoms) melalui produk kosmetiknya berjenama Meriel akan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dan melakukan promosi secara agresif untuk memperkenalkan produk itu dalam pasaran.
  • PRIHATIN terhadap masalah dalaman wanita, syarikat milik Bumiputera sepenuhnya, Swiet Organic Marketing memperkenalkan produk penyegar intim wanita semula jadi (BFF) menerusi jenama Pepee Mist.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.