SIME Darby Property dan komuniti Apartmen Melati di Bukit Subang telah melancarkan Kebun Komuniti Melati, salah satu usaha memaksimumkan penggunaan kawasan hijau dan membantu komuniti bandar tangani kenaikan kos sara hidup.

Pelancaran  dirasmikan Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor, Fairojibanu Zainal Abidin; Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong dan para ahli komuniti.

Appollo Leong berkata, projek kebun komuniti ini menyediakan keluarga berpendapatan rendah di perbandaran Bukit Subang dengan kemudahan asas bagi mengusahakan tanaman seperti sayur-sayuran bagi keperluan sendiri dan menjana pendapatan daripada penjualan hasil tanaman mereka.

Katanya, Sime Darby Property turut menyumbang kepada penyediaan infrastruktur berkebun seperti sistem fertigasi tanaman, kaedah pengurusan tanaman yang menyediakan baja dan bekalan air melalui pengairan titisan (drip irrigation), meningkatkan penyerapan nutrien oleh tanaman dan memastikan hasil yang produktif.

"Kaedah ini adalah lebih sistematik dan mudah diurus berbanding kaedah pertanian konvensional dan projek ini adalah perintis yang beri manfaat kepada 30 keluarga terpilih di Apartmen Melati, Bukit Subang," katanya.

Setakat ini, 30 peserta telah mendaftar dan bersedia beri komitmen penuh. Penyertaan komuniti dijangka meningkat tidak lama lagi.