PENGALAMAN selama 10 tahun dan pakar dalam penjagaan dan rawatan rambut, Pengasas KU2 Haircare (M) Sdn Bhd, Hayatie Aziz sering kali berdepan aduan pelanggan yang mempunyai anak dengan masalah rambut kutu.

Bermula dari cerita dan aduan pelanggan-pelanggannya, maka tercetus idea untuk menghasilkan Kapten Kutu. Ia merupakan syampu khas yang dirumuskan khas untuk mengatasi masalah rambut kutu.

“Selama ini berada dalam bidang perawatan rambut, selalunya pelanggan yang adalah orang dengan masalah rambut gugur.

“Pada masa yang sama pelanggan turut mengadu anak mereka ada masalah rambut berkutu dan minta kami buat rawatan rambut kutu. Tetapi malangnya kami tidak sediakan rawatan tersebut ketika itu.

“Maka dari sinilah timbulnya idea hendak buat rawatan rambut kutu. Pada masa sama menghasilkan produk bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Tambah Hayatie, tidak dinafikan mereka yang bermasalah rambut kutu boleh mendapatkan rawatan atau ubat di klinik mahupun farmasi.

“Tetapi ramai yang mengadu anak tidak suka dengan ubat yang dibeli kerana baunya tidak menyenangkan. Ini kerana mereka menggunakan bahan-bahan kimia dalam setiap ubat kutu, sebab itu baunya tidak menyenangkan.

“Berbeza dengan Kapten Kutu. Sebelum menghasilkan produk ini, kami membuat sedikit kajian mengenai penggunaan herba anti-kutu,” katanya.

Hasil idea tersebut, Hayatie bertemu dengan pegawai di Teknologi Park Malaysia untuk berkongsi formulasi produk Kapten Kutu.

Penghasilan Kapten Kutu turut melalui proses penyelidikan dan pembangunan yang dimulakan pada 2014. Selepas mendapat kelulusan, produk di pasarkan pada akhir 2016.

“Bahan-bahan yang digunakan dalam Kapten Kutu semuanya adalah berasaskan herba yang anti kutu. Jika sebelum ini kebanyakan produk yang dihasilkan adalah dari bahan kimia. Kapten Kutu 100 peratus daripada bahan semula jadi.

“Antara bahan yang digunakan adalah seperti minyak riba, ekstrak buah-buahan dan cuka. Ekstrak buah-buahan memberi nafas baru kepada syampu ini. Dengan haruman yang wangi dan menyegarkan ia tidak rasa seperti sedang merawat rambut kutu,” katanya.

Walaupun produk ini dihasilkan khusus untuk kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga boleh menggunakannya.

Bahkan ia juga boleh dijadikan sebagai syampu harian biasa bagi mereka yang tiada masalah rambut kutu tetapi mahu menghindar daripada terkena jangkitan kutu.

12 juta Kanak-kanak dijangkiti kutu setiap tahun

Kapten Kutu fokus pada mengatasi masalah rambut kutu dalam kalangan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak dan pelajar merupakan golongan yang mudah terdedah kepada masalah rambut terutama rambut kutu.

“Mengikut statistik yang dikeluarkan seramai antara enam hingga 12 juta kanak-kanak di seluruh dunia dijangkiti kutu rambut setiap tahun.

“Dan daripada jumlah ini, majoritinya adalah kanak-kanak berumur antara tiga hingga 11 tahun. Dan daripada jumlah ini pula seramai 10.7 peratus adalah dalam kalangan kanak-kanak di negara kita,” katanya.

Menurut, Hayatie, kutu rambut juga mudah berjangkit terutama jika seorang murid mempunyai kutu.

“Sebagai pakar penjagaan rambut, menjadi tanggungjawab saya membantu kanak-kanak ini agar mahkota mereka kekal terpelihara cantik dan sihat.

“Apabila kanak-kanak dan pelajar dijangkiti kutu rambut, kesannya ia boleh menjejaskan prestasi pembelajaran mereka, dan rasa rendah diri,” katanya.

Sebagai usahawan, meraih keuntungan bukan fokus utama, kerana Hayatie dalam siri turun padang  turut memberi pendedahan kepada masyarakat tentang bahaya penyakit kutu.

Pendedahan mengenai cara merawat dan menjaga rambut turut di ajar dalam setiap program turun padang yang dibuat Hayatie bersama Kementerian Pendidikan dan badan-badan bukan Kerajaan.

Perkukuh jenama di pasaran

KU2 Haircare (M) Sdn Bhd sasar untuk terus memperkukuhkan produk Kapten Kukuh di pasaran tempatan.

Kata Hayatie, sejak diperkenalkan pada 2016, permintaan bagi syampu rambut iaitu Kapten Kutu amat menggalakkan terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan kurang pengetahuan mengenai kepentingan penjagaan rambut.

“Bagi tahun ini sahaja, kita sudah mengeluarkan 1,000 botol Kapten Kutu dan 70 peratus sudah terjual.

“Saya optimis produk ini mampu pergi lebih jauh. Ini kerana bahan-bahan yang digunakan adalah seratus peratus daripada herba dan bahan semula jadi, tanpa kimia seperti kebanyakan produk yang berada di pasaran kini,” katanya.

Menurut Hayatie, bagi 2019 syarikat menyasarkan jualan sehingga RM2 juta. Di mana setiap rumah mempunyai Kapten Kutu sebagai produk wajib penjagaan rambut kanak-kanak.

KU2 Haircare juga akan memulakan siri jelajah Rambut Elok Membentuk Minda Otak Sihat (Remmos) ke seluruh negara Julai ini dalam usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan penjagaan rambut.