SEMPENA kejohanan Piala Dunia 2018, kakitangan Hotel De Art mengambil pendekatan dengan menyarung jersi negara bertanding sebagai meraikan kejohanan yang berlangsung di Rusia itu.

Pengurus Perhubungan Awamnya, Noor Nazlia Mohd Iqbal berkata, selain tanda sokongan terhadap musim bola sepak, ia juga merupakan usaha syarikat untuk mempromosikan hotel berkenaan kepada orang ramai.

Katanya, ini merupakan kali kedua kakitangan hotel itu berpakaian jersi lengkap dengan kasut sukan ke tempat kerja sempena musim Piala Dunia.

“Semua kakitangan Hotel De Art tidak kiralah penyambut tetamu atau di bahagian lain di empat cawangan kami yang melibatkan 35 orang, memakai jersi pasukan pilihan sejak Isnin lalu bagi mencipta kelainan berbanding hotel-hotel lain.

“Hotel De Art sememangnya terkenal dengan tema seni dan kali ini, kami tampilkan perbezaan dari segi pakaian ketika bekerja dengan menyarung jersi pasukan pilihan Piala Dunia 2018 atas inisiatif sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Selain itu, Noor Nazlia berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan skrin besar untuk kakitangannya yang sudah tamat waktu bekerja menonton perlawanan bola pada waktu malam.

“Ia cuma dibuka untuk kakitangan sahaja buat masa ini. Lokasinya hanya di ‘function room’ di Hotel De Art di i-City dan Seksyen 7,” katanya.

Sepanjang Piala Dunia 2018 berlangsung, katanya, Hotel De Art turut menawarkan promosi penginapan bermula RM88 untuk satu malam di semua rangkaian hotelnya.

“Promosi ini akan membantu meningkatkan perolehan syarikat berbanding hari biasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Hotel De Art meluaskan rangkaiannya dengan membuka cawangan baharu di Seksyen 9, semalam.

“Ia merupakan cawangan kelima kami,” katanya.

Hotel De Art yang ditubuhkan sejak 2008 bermula di Seksyen 7, di sini, mengetengahkan tema seni lain daripada yang lain dan setiap cawangannya tampil dengan konsep berbeza.

Selain di Seksyen 7, cawangan Hotel De Art terletak di i-City, Seksyen 19 di sini dan USJ 21, Subang Jaya.

Piala Dunia 2018 berlangsung di Rusia sejak 14 Jun lalu yang melibatkan 32 buah negara antaranya Belgium, Uruguay, Mesir, Jerman, England, Croatia dan Poland.