KEKURANGAN produk kesihatan untuk lelaki di pasaran mendorong usahawan wanita, Wan Zahifah Ishak, 37, menghasilkan Jus Rahsia Alam dengan gabungan pelbagai khasiat herba dan pemakanan terpilih.

Pengasas K Masyur Enterprise ini berkata, produk tersebut juga tercetus atas usahanya untuk membantu golongan lelaki menjaga serta memelihara kesihatan dengan baik.  

“Kebanyakan produk di pasaran hanya untuk wanita, kalau ada pun untuk lelaki ia lebih memfokuskan kepada fungsi seksual semata-mata.

“Kerana itulah, lahirnya Jus Rahsia Alam yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan lelaki. Ia bukan sahaja mampu meningkatkan tenaga dalaman dan luaran, tetapi juga melawaskan sistem pencernaan, membuang angin dalam badan serta membantu melawan pelbagai penyakit,” katanya.

Menjalankan kajian dan penyelidikan hampir setahun, Wan Zahifah berkata, keistimewaan Jus Rahsia Alam terletak pada bahan utamanya yang menggunakan tiga jenis tongkat ali iaitu tongkat ali merah (Stema Tuberosa), tongkat ali putih (Eurycoma Longifolia) dan tongkat ali hitam (Polyathia Bulata) yang cukup sinonim sebagai penambah tenaga dan stamina bagi golongan lelaki.

Selain tongkat ali, produk turut menggunakan herba dan pemakanan sihat seperti kurma, delima, ubi jaga, habbatussauda, halia, lada hitam, jintan manis dan stevia yang mempunyai pelbagai khasiat.

“Produk ini dihasilkan di kilang bertaraf GMP (Pengilangan Amalan Baik). Ia turut mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan  menerusi pemakanan kesihatan.

“Sebelum dipasarkan, produk ini terlebih dahulu diberikan secara percuma kepada orang ramai bagi mendapatkan testimoni. Alhamdulillah, rata-ratanya berpuas hati dan mengulangi pembelian. Dari situ, saya yakin Jus Rahsia Alam mampu pergi lebih jauh,” katanya.

Melancarkan produk tersebut pada awal Oktober lalu, Zahifah berkata, Jus Rahsia Alam telah terjual sehingga 500 unit dan beliau menyasarkan peningkatan jualan sehingga 5,000 unit menjelang tahun depan.

“Sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan. Biarpun masih baharu di pasaran, Jus Rahsia Alam sudah mendapat sambutan di luar negara, Singapura. Kita sudah ada ejen di sana. Walaupun tidak secara meluas, namun saya yakin jualannya mampu bertambah dari masa ke semasa.

“Fokus utama saya adalah untuk pasaran tempatan dengan melantik lebih ramai wakil jualan. Modal yang diperlukan hanya serendah RM360,” katanya yang menyasarkan 50 wakil jualan di seluruh negara hujung tahun ini.

Didik kesedaran ramai

Mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang perniagaan, termasuk menjual kerepek dan kain pasang, usahawan yang berasal dari Kluang Johor ini berkata, perniagaan baharunya ini dilihat sebagai cabaran besar buatnya.

Manakan tidak, adalah luar biasa bagi wanita sepertinya menjual produk untuk lelaki. Bagaimanapun, beliau tetap optimis dan punya perancangan tersendiri menerusi produk sulungnya itu.

Sebagai isteri dan ibu kepada empat cahaya mata, Zahifah berkata, beliau mahu memberi kesedaran kepada wanita di luar sana untuk menitikberatkan penjagaan kesihatan suami, bapa dan saudara lelaki.  

“Semasa saya mahu menghasilkan produk ini, ramai berpandangan sinis kerana status saya sebagai wanita. Malah ada juga  berpandangan produk lelaki tidak mampu pergi jauh kerana kuasa membeli di tangan wanita.

“Apa jua pandangan, saya yakin ramai wanita di luar sana sayangkan suami dan juga bapa mereka. Malah saya yakin mereka-mereka inilah yang akan membantu menjaga kesihatan golongan ini,” katanya yang memperuntukkan modal RM30,000 untuk produk tersebut.

Dengan isian 400ml, Jus Rahsia Alam berharga RM75 di Semenanjung dan RM85 di Sabah, Sarawak. Layari Facebook Jus Lelaki Rahsia Alam dan Instagram, Rahsia 3alam untuk maklumat lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MATA kucing adalah sejenis buah yang bermusim dan sukar didapati di negara ini kerana kesukaran pokoknya untuk berbunga bagi menghasilkan buah apabila cukup matang.
  • INGIN tampil dengan kelainan pada produk keluaran pertama syarikatnya, Abdul Alif Sulaiman bersama dua lagi rakan kongsi, Mohamad Sidiq Farouk dan Mohamad Ashik Abdul Kadir menjalankan penyelidikan pasaran tentang produk itu terlebih dahulu selama hampir enam bulan.
  • SEREMBAN - Produk minuman kesihatan, Nia Amira Health & Beauty, kini tidak asing lagi di pasaran apabila produk keluaran muslim ini semakin dikenali ramai.
  • JENAMA Tok Guru tidak asing lagi di Malaysia terutamanya produk minuman dan makanan kesihatan serta makanan tambahan. Ia dipasarkan oleh Saffron Integrated Marketing Sdn Bhd (Saffron Integrated Marketing) sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2007.