KUALA LUMPUR - Jualan kenderaan motor pada Januari 2012 turun sebanyak 13,833 unit atau 25 peratus kepada 40,948 unit daripada 54,781 unit pada bulan yang sama tahun lepas, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam satu kenyataan hari ini berkata, segmen kereta penumpang mencatatkan jualan 36,864 unit berbanding 49,606 unit tahun lepas, manakala jualan kenderaan perdagangan merosot kepada 4,084 unit daripada 5,175 unit.

Proses kelulusan pinjaman sewa beli yang ketat, bulan kerja yang pendek berikutan cuti sempena sambutan Tahun Baru Cina dan kesan bencana banjir di Thailand yang masih belum pulih sepenuhnya, merupakan antara faktor utama menyebabkan penurunan kuantiti jualan, kata persatuan itu, sambil menambah jualan kenderaan motor pada Disember 2011 berjumlah 47,954 unit.Bagi prospek Februari, MAA berkata keadaan pasaran dijangka sama seperti Januari.

Ia berkata pengeluaran bulan lepas turun kepada 51,403 unit daripada 60,283 unit pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengeluaran kereta penumpang turun kepada 46,274 unit daripada 55,217 unit pada bulan yang sama pada 2011 manakala pengeluaran kereta perdagangan naik sedikit kepada 5,129 unit daripada 5,066 unit pada tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.