• Majalah turut dijual pada karnival ini. Majalah turut dijual pada karnival ini.
1 /

SHAH ALAM – Penggemar buku sanggup berbelanja besar dan datang jauh semata-mata untuk membeli pelbagai bahan bacaan yang ditawarkan oleh Jualan Gudang Karangkraf, yang kini berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Ia bermula semalam dan akan berakhir esok.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Asmak Ali, 57 berkata, beliau sanggup menghabiskan RM300 untuk membeli pelbagai jenis buku berbentuk keagamaan dan motivasi serta beberapa majalah yang sesuai dengan usianya.

“Saya memang menantikan jualan buku di syarikat ini kerana saya rasa berbaloi berbelanja untuk membeli buku  yang digemari dan novel untuk anak-anak.

“Saya gembira jualan ini diadakan di sini kerana memudahkan saya dan penduduk Lembah Klang membeli buku. Kami tidak perlu bersesak untuk ke Pesta Buku yang diadakan di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, graduan lepasan UiTM yang tinggal di Kelantan, Siti Nur Khairini Abdul Rahman, 24, berkata dia datang ke karnival jualan ini untuk mendapatkan novel, majalah dan bahan bacaan lain dengan harga murah.

“Saya datang bersama adik kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli bahan bacaan kegemaran kami sekeluarga dengan harga yang berpatutan.

“Kami juga berpuas hati kerana tidak perlu bersesak untuk mencari parkir kereta kerana ia disediakan berhampiran khemah jualan,” katanya.

Bagi pembaca tegar Sinar Harian, Ahmad Fauzi Yusak, 55, berkata, dia membawa isteri dan dua anak perempuannya ke jualan gudang itu kerana memahami minat mereka yang suka membaca.

“Saya mendapat maklumat mengenai jualan ini dalam akhbar Sinar Harian pagi tadi (semalam). Saya mengajak mereka ke sini untuk membeli buku yang digemari.

“Isteri saya suka membaca buku motivasi dan masakan manakala anak- anak saya pula minat membaca novel dan buku kanak- kanak. Jualan ini memang ditunggu- tunggu kerana bukan sahaja dekat dengan rumah tetapi suasana yang selesa dan teratur,” katanya