SYARIKAT Bumiputera, Lenny Farina Empire mengunjurkan nilai jualan melalui modul perniagaan baharu yang diperkenalkan iaitu penjualan fesyen dan aksesori di atas trak, Fashion on Wheels sepanjang Ramadan berjumlah RM3.5 juta.

Pengasasnya, Lenny Farina Hazree optimis unjuran itu dapat dicapai berikutan strategi pemasaran syarikat yang mengadakan promosi agresif mengenai Fashion on Wheels di laman sosial dan platform media.

Menurutnya, Fashion on Wheel sadalah gabungan 15 usahawan terkemuka dalam bidang fesyen dan aksesori yang mempunyai elemen penjualan atas talian dan runcit di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan pelanggan membeli secara langsung dan dijangka ia akan menjadi pilihan.

“Fashion on Wheels disertai oleh Minaz, JelitaSara, Janna Noah, Cipella, Locka,  Fatinsuhana, Jameqha dan sebagainya. Kami akan berada dan beroperasi di 12 lokasi terpilih di Lembah Klang yang menjadi tumpuan orang ramai antaranya di Menara Surian, Menara TM, Pusat Konvensyen Shah Alam.

“Ia menjadi pusat sehenti kepada orang ramai khususnya wanita kerana menyediakan kelengkapan raya dengan harga berpatutan serendah RM69. Malah, koleksi yang ditampilkan adalah sama dengan koleksi yang terdapat di butik mereka,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Fashion on Wheels di Kuala Lumpur.

Lenny berkata, syarikatnya memperkenalkan modul perniagaan itu bertujuan memberikan kemudahan kepada pelanggan memilih, memegang fabrik yang digunakan atau produk seperti kasut, beg, minyak wangi dan sebagainya.

“Ia adalah alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai masa untuk membeli-belah dan tidak mahu berdepan dengan kesesakan lalu lintas. Fashion on Wheels seperti pusat sehenti apabila trak itu diubahsuai dengan bermodalkan RM100,000.

“Walaupun menempatkan pelbagai kelengkapan raya, ia selesa dan mempunyai kemudahan bilik untuk mencuba pakaian.

Fashion on Wheels akan bermula pada 21 Mei nanti di Menara Surian, Damansara,” katanya.

Katanya, pelanggan boleh melakukan pembelian serta-merta sekiranya berminat melalui pembayaran kad kredit dan debit.

Fahion on Wheels akan beroperasi bermula 10 pagi hingga 4 petang sekiranya berada di kawasan bangunan korporat manakala di kawasan hotel terutamanya pada hujung minggu, ia akan beroperasi pada 4 petang hingga 10 malam.