SEJAK beroperasi 16 tahun lalu, sering kali jenama restoran makanan laut terkenal, The Manhattan Fish Market dianggap jenama luar. Siapa sangka, restoran popular itu dimiliki anak tempatan iaitu George Ang dan Dickson Low.

The Manhattan Fish Market merupakan hasil gabungan kedua-dua insan hebat itu yang mempunyai kepakaran dalam bidang makanan serta kewangan.

Ketua Pegawai Operasi Revenue Valley Pte Ltd, Dickson Low berkata, mereka membuka restoran berasaskan makanan laut yang divariasikan untuk memenuhi cita rasa tempatan untuk memberikan kelainan kepada pelanggan.

Menurutnya, beliau mempunyai pengalaman dalam industri makanan dan minuman selama 30 tahun, demi kecintaannya dalam bidang itu, beliau merealisasikannya dengan membuka restoran yang menyediakan makanan laut yang unik dan eksklusif.

“Saya pernah bekerja di beberapa restoran dan hotel terkemuka di Singapura. Saya mahu pengalaman dan ilmu yang dipelajari sepanjang tempoh itu digunakan dengan sebaiknya dan memenuhi penggemar makanan laut kerana ia sentiasa mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.

Modal permulaan RM200,000

Mengimbas kembali pembabitan mereka membangunkan The Manhattan Fish Market, Dickson berkata, sebelum membuka restoran, mereka terlebih dahulu melakukan kajian penyelidikan dan pembangunan terhadap industri makanan dan minuman negara.

“Kami dapati kebanyakan restoran di negara ini menyediakan makanan mengikut selera masyarakat tempatan yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Dickson bersama antara hidangan yang terdapat di The Manhattan Fish Market.

“Kami mahu tampil berbeza daripada restoran sedia ada. Kami mengetengahkan pelbagai kelainan, antaranya penggunaan bahan-bahan dan penyediaan makanan dan cara menghidangkannya kepada pelanggan yang kini menjadi identiti kami,” katanya.

Menurutnya, bermodalkan RM200,000, mereka mengubah suai restoran sedia ada untuk tampil dengan konsep eksklusif tanpa memasak di restoran berkenaan.

“Kami menggunakan dapur berpusat (central kitchen) dari syarikat pembekal komponen tulen (OEM) yang membekal makanan memenuhi kehendak kami. Syarikat tersebut menggunakan resipi yang kami berikan dan dihantar mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, The Manhattan Fish Market masih menggunakan syarikat OEM untuk membekalkan makanan yang mereka perlukan.

Tampil kelainan

Pada peringkat awal The Manhattan Fish Market beroperasi, makanan asas yang digunakan terdiri daripada ikan, udang, sotong, lobster dan makanan laut lain yang menggunakan kaedah digoreng dan dipanggang.

“Menariknya, makanan tersebut disertai ‘flaming sauces’ di hadapan pelanggan dan mereka melihat sendiri sos yang digunakan mendidih dan menghasilkan aroma yang menggamit selera,” katanya.

Menurutnya, kelainan itu menjadikan The Manhattan Fish Market begitu istimewa selain menyediakan makanan yang berkualiti dan sedap.

DAPATKAN BERITA PENUH DI AKHBAR SINAR HARIAN HARI INI