TERINGIN makan sesuatu hida-ngan yang tular di laman sosial, tetapi tidak tahu di mana lokasi berdekatan untuk mendapatkan hidangan tersebut.

Ini antara masalah yang sering dihadapi kebanyakan pengguna.

Bertitik tolak dari situ, ia memberikan idea kepada Pengasas Food Artists (M) Sdn Bhd, terkenal dengan jenama Burger Bakar Abang Burn, Sabrie Salleh, untuk menyediakan satu sistem dinamakan Jejak Kios pada pertengahan tahun lalu.

Jejak Kios membantu memudahkan pengguna telefon pintar terutamanya mencari lokasi sesebuah kios atau gerai melalui penunjuk yang diberikan dalam satu platform, tanpa perlu membuka laman web lain.

Sabrie berkata, sistem Jejak Kios merupakan satu kemudahan baharu yang ditambah baik daripada aplikasi sedia ada ke dalam satu platform.

“Pengguna akan dapat mengetahui lokasi kios berhampiran mereka sebaik sahaja membuka laman web atau laman sosial seperti Facebook dan Instagram gerai tersebut.

“Contohnya, saya gunakan untuk perniagaan kios kami iaitu kios jenama Mat Bulat Meatball. Pelanggan boleh mendapat sambungan terus ke sistem itu bagi mendapatkan lokasi kios berhampiran, seterusnya boleh ke lokasi tersebut dengan bantuan tunjuk arah disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sabrie berkata, ke mana sahaja destinasi, Jejak Kios masih boleh digunakan, sekali gus membolehkan pengguna mendapatkan hidangan yang mereka sukai dengan klik pada laman sosial kios tersebut.

"Kemudian, ikuti arahan yang disediakan dan pengguna akan dibawa untuk klik pada sambungan disediakan.

"Secara automatik, pengguna akan dibawa ke halaman yang mengandungi maklumat lengkap kedai seperti alamat, nombor telefon pemilik kedai, waktu operasi sehinggalah peta dan tunjuk arah,” katanya.

Tidak perlu masa yang lama

Berkongsi mengenai tempoh masa diambil untuk melengkapkan sistem menjejak gerai baharu itu, Sabrie berkata, ia hanya mengambil masa beberapa hari sahaja.

“Saya bukanlah seorang pembangun program, tetapi saya belajar sendiri daripada internet, kerana semuanya ada di sana.

“Aplikasi berasingan seperti Google Maps dan Directions sudah tersedia di salah satu platform sistem di internet. Saya hanya perlu mengeluarkan sedikit kos untuk menggunakan aplikasi tersebut.

"Apabila kos telah diberikan, barulah ia boleh digunakan untuk diaplikasikan pula di laman web jenama saya,” katanya.

Hanya dengan mengikut arahan yang diberikan, pelanggan boleh terus ke kios dengan mudah.

Sabrie kemudian mendapatkan maklumat lengkap dari setiap kios dan lokasinya di seluruh negara untuk dilengkapkan pada sistem Jejak Kios yang memudahkan pengguna.

“Apabila semuanya lengkap, barulah saya masukkan maklumat tersebut dalam program tersedia dan memasukkan aplikasi Google Maps dan Directions untuk dimuat ke dalam laman sosial jenama ini," katanya.

Pada masa yang sama, Sabrie berkata, inovasi kemudahan itu akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa untuk kepuasan pelanggan.

Tawar rakan usahawan menggunakannya

Jejak Kios pada awalnya, digunakan Sabrie untuk perniagaan kiosnya namun, ramai rakan-rakan usahawan yang bertanyakan tentang sistem itu dan meminta bantuannya untuk diaplikasikan pada kedai jenama masing-masing.

Katanya, ia bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi memberi kelebihan kepada peniaga meningkatkan jualan.

Pada masa sama, penggunaan sistem Jejak Kios tidak terhad kepada pengusaha kios atau gerai makanan, tetapi juga boleh digunakan oleh mana-mana jenis perniagaan.

“Saya sedia tunjuk ajar sistem ini secara percuma kepada rakan atau sesiapa yang berminat kerana ia salah satu cara bantu perniagaan mereka.

“Buktinya, kini saya memiliki lebih 130 kios seluruh negara yang boleh terus dijejak lokasinya sebaik sahaja pelanggan memasuki laman web kami, atau Instagram Mat Bulat Meatball yang ada,” katanya.

Mengulas perniagaannya, Sabrie berkata, dia mahu meningkatkan jumlah kiosnya di beberapa lagi lokasi yang menjadi perhatian.

"Mereka yang berminat membuka kios jenama ini akan menerima beberapa keistimewaan dengan adanya sistem ini.

"Jejak Kios Mat Bulat Meatball bantu mereka dapatkan pelanggan dengan mudah tanpa perlu bersusah payah buat promosi sendiri.

"Kita sedar, cabaran utama awal berniaga adalah untuk meyakinkan pelanggan datang ke kios. Dengan sistem ini, ia membantu mempromosikan perniagaan masing-masing," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :