$entry.content.caption.value
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berharap pelabur Timur Tengah tidak melepaskan peluang menjalinkan hubungan perniagaan bersama pelabur Malaysia demi kemajuan umat sejagat.
Pengerusinya, Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, antara sektor berpotensi untuk diceburi adalah pertanian, perkhidmatan serta pembuatan yang dijangka mampu memberi pulangan baik.
“Selain itu, mereka juga boleh menyertai bidang perhotelan, hartanah, sektor halal dan penjagaan kesihatan kerana kita menyediakan pelbagai insentif,” katanya selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Peluang Pelaburan di Malaysia sempena multaqa kesembilan Al-Muntada Al-Islami 2012.
Menurutnya, Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri kerana memiliki pengurusan ekonomi yang mantap, pekerja yang mahir serta menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelabur.
“Tiada had dari segi modal yang boleh dibawa ke Malaysia. Kekuatan Malaysia bukan sahaja menggalakkan pelaburan tetapi juga membenarkan faedah atau keuntungan dibawa balik,” katanya.
Sulaiman berkata, kebanyakan pelabur juga ingin tahu mengenai bagaimana Malaysia memupuk perkembangan sektor pembuatan serta peluang pelaburan yang ada di negara ini.
Persidangan itu dianjurkan Al-Muntada, dengan kerjasama Kumpulan Penasihat IFP Malaysia, yang pertama kali diadakan dihadiri kira-kira 80 perwakilan asing termasuk 28 pelabur dari Arab Saudi, Qatar, United Kingdom, Sudan dan Mesir.





