BANK Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah-langkah agresif untuk memerangi skim kewangan haram sebagai sebahagian daripada dasar tidak bertoleransi bank pusat itu terhadap pengendali dan pelabur yang dengan sengaja mengambil bahagian dalam aktiviti kewangan haram. 

Gabenornya Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, setakat 2 Mei, 2017, 238 akaun mencurigakan telah ditutup oleh institusi kewangan.

"Daripada jumlah itu, 108 akaun disenaraikan di bawah amaran pelanggan kewangan Bank Negara berikutan aduan orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia, di sini, hari ini. 

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, individu atau perniagaan yang terlibat dalam aktiviti kewangan haram boleh didenda sehingga RM50 juta dan dipenjarakan 10 tahun.  

Akta itu menyediakan peraturan dan pengawalseliaan institusi kewangan, sistem pembayaran dan entiti relevan lain dan pengawasan pasaran wang serta pasaran pertukaran asing bagi menggalakkan kestabilan kewangan dan bagi  perkara-perkara berkaitan, berbangkit atau bersampingan. 

"Apa-apa juga pelaburan yang menawarkan pulangan lebih daripada 20 peratus adalah tidak realistik," kata Muhammad, sambil menambah amanah saham adalah pengurus portfolio terbaik kerana ia menawarkan pulangan kira-kira enam hingga tujuh peratus. 

Beliau menjelaskan akaun-akaun yang sangat meragukan akan ditutup dan wang dikembalikan kepada pemilik akaun. 

"Dana-dana hanya akan disita atau dibekukan sekiranya diarahkan oleh mahkamah," katanya. 

BNM juga melaksanakan langkah-langkah diselaraskan yang termasuk Jabatan peguam Negara yang akan menerajui jawatankuasa antara agensi bagi penguatkuasaan bersama terhadap aktiviti kewangan haram. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANK Negara Malaysia (BNM) menegaskan ia tidak pernah dan tidak akan campur tangan dalam rundingan antara mana-mana pihak berkaitan dengan penggabungan dan pengambilalihan dalam industri perbankan.
  • BANK Negara Malaysia (BNM) secara kerjasama dengan industri kewangan Islam, mengeluarkan satu kertas strategi berkenaan Pengantaraan berasaskan Nilai (VBI) bagi memperincikan strategi untuk mengukuhkan peranan dan impak institusi perbankan Islam terhadap ekosistem kewangan mampan.
  • Bank Negara Malaysia (BNM) telah melantik Adnan Zaylani Mohamad Zahid sebagai Penolong Gabenor berkuat kuasa 1 Ogos 2016.
  • BANK Negara Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Pasaran Kewangan dalam usaha membangunkan lagi pasaran kewangan negara, kata Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim.