DUDUK terlalu lama di lantai sering kali menimbulkan rasa kurang selesa, sekali gus menyebabkan kita kerap mengubah posisi duduk untuk mencari keselesaan, terutama bagi mereka yang sudah berusia.

Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh mengakibatkan seseorang itu sakit di bahagian pinggang, belakang atau berasa kebas akibat duduk di lantai dalam tempoh yang lama.

Melihat perkara itu, syarikat Bumiputera, Acentrans Sdn Bhd (Acentrans) tampil dengan inovasi produk kerusi lantai yang dikenali menerusi jenama Kerusi Kuliah.

Pengarahnya, Muhammad Uqbah Mohd Basri berkata, ilham mencipta Kerusi Kuliah tercetus sekitar 2014 apabila melihat orang ramai terutama mereka yang sudah berusia sering kali mengubah posisi duduk ketika sedang mendengar kuliah di masjid atau surau.

"Bukan sahaja ketika kuliah, malah jika melakukan aktiviti lain seperti duduk bersila di lantai ketika menonton televisyen pun banyak kali posisi duduk terpaksa diubah.

"Bermula dari situ, kami mula memikirkan produk kerusi lantai yang boleh mengatasi masalah ini, sekali gus memberi keselesaan kepada orang ramai ketika duduk di lantai untuk melakukan pelbagai aktiviti," ujarnya.

Katanya, Acentrans mengambil masa enam bulan untuk menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi menghasilkan kerusi lantai yang kukuh dan selesa.

"Ia mengambil masa agak lama kerana perlu mencari material terbaik untuk menghasilkannya. Kami juga menghadapi cabaran untuk mendapatkan 'acuan' bagi menghasilkan kerusi lantai pertama kami yang diperbuat daripada 100 peratus plastik Polypropylene (PP).

"Akhirnya, kami berjaya juga menghasilkan kerusi lantai pertama di negara ini dengan jenama Kerusi Kuliah pada awal 2015 dan mula dipasarkan," katanya.

Kerusi tahan lasak

Bermula dengan kerusi lantai menggunakan material diperbuat daripada 100 peratus plastik PP yang banyak digunakan di masjid, surau serta sekolah tahfiz, kini Kerusi Kuliah mempunyai enam model yang disasarkan kepada sasaran pelanggan berbeza, daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.

Muhammad Uqbah berkata, enam model itu adalah Kerusi Kuliah Basic, Kerusi Kuliah Premium KK0101, Kerusi Kuliah Kids KK0120, Kerusi Kuliah Premium KK0161, Kerusi Kuliah Premium KK0163 dan Kerusi Kuliah Premium KK0156.

Katanya, semua kerusi lantai yang dihasilkan bersifat tahan lasak dan boleh diduduki sesiapa pun walaupun individu yang mempunyai saiz badan besar.

Produk Kerusi Kuliah sering menjadi pilihan sekolah tahfiz.

"Sebelum menghasilkan kerusi ini, kami sudah buat kajian kerusi lantai mengikut struktur badan manusia supaya ia dapat memberi keselesaan kepada pengguna.

"Kami turut mengambil kira dari segi ergonomik, iaitu hubungan antara manusia dengan alat dan sistem bekerja," katanya.

Semua produk jenama Kerusi Kuliah menggunakan bahan berkualiti bagi menjamin ketahanannya.

Sesetengah model kerusi lantai didatangkan dengan pemegang dan tali untuk memudahkan ia dibawa ke mana-mana.

Lebih 15,000 unit terjual

Sejak mula dipasarkan awal 2015, Kerusi Kuliah mendapat permintaan ramai dengan lebih 15,000 unit terjual di pasaran tempatan.

Muhammad Uqbah berkata, kerusi lantai daripada jenis plastik antara yang menerima permintaan tinggi kerana ia kebanyakannya dibeli atau diwakafkan di surau, masjid mahupun sekolah tahfiz.

"Tambahan pula, harganya hanya RM60 seunit dan pelanggan selalunya membeli dalam kuantiti yang banyak. Kami juga turut menjualnya menerusi 20 ejen aktif di seluruh negara.

"Bagi kerusi lantai premium, ia dijual pada harga RM150 hingga RM299, yang kebanyakannya dijual di platform dalam talian Lazada dan 11street," katanya.

Bukan itu sahaja, Acentrans turut menjadi penaja kerusi lantai untuk program World Quran Hour yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, jenama Kerusi Kuliah bakal menembusi pasaran Indonesia, dijangka sebelum akhir tahun ini.

"Kami sudah berbincang dengan sebuah syarikat dari Indonesia untuk membawa produk Kerusi Kuliah ke negara tersebut," ujarnya.

Pada masa sama, katanya, Acentrans turut mempelawa sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen Kerusi Kuliah di seluruh negara dan Brunei, bagi menjana pendapatan sampingan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUSAT Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bakal menganjurkan Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global (Sidang Kemuncak GECommunity) pada 12 dan 13 Disember ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
  • KEJAYAAN anak Sabah, Lely Busok menghasilkan acar limau dan dieksport ke Kuwait, seterusnya ke Poland pada bulan depan, membuktikan makanan pembuka selera itu mampu mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
  • ZBY Design, pengusaha batik Kuala Lumpur, mengakui perniagaannya dalam fesyen batik tidak pernah menghampakannya.
  • SYARIKAT Bumiputera, Z & S Legacy Herbs Sdn Bhd (Z & S Legacy), pengeluar produk penjagaan kesihatan melalui jenama Legacy mengadakan promosi merdeka bagi kedua-dua produknya Jus Legacy dan Legacy S sepanjang bulan kemerdekaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.