Ubi keledek ungu agak sukar dijumpai di pasaran kerana varieti sangat terhad walaupun mempunyai permintaan tinggi.

Kerajaan memberi mandat kepada Mardi menjalankan penyelidikan dan pembangunan tanaman ubi keledek bagi meningkatkan hasil tanaman, seterusnya menyumbang peningkatan pendapatan petani dan negara.

Rancangan itu membuahkan hasil apabila Mardi memperkenalkan varieti ubi keledek ungu baharu yang dikenali sebagai ubi keledek ungu Anggun terdiri daripada Anggun 1, 2 dan 3, September lalu.

Varieti keledek ungu Anggun 1, 2 dan 3 hasil penyelidikan Mardi

Anggun merupakan singkatan bagi antosianin (An), ungu (ggu) dan nutrisi (n).

Saintis Mardi, Nurul Afza Karim berkata, projek pembangunan varieti ubi keledek bermula seawal 2008 dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang tertumpu kepada penghasilan ubi keledek bernutrisi tinggi dan selamat dimakan.

"Penyelidikan ubi keledek ungu Anggun pula bermula pada RMK10 iaitu 2011 hingga 2015. Bermula dengan pemilihan beberapa koleksi sumber bahan genetik ubi keledek ungu di seluruh Malaysia, ia kemudian dibiakkan, disaring dan melalui beberapa peringkat penilaian.

"Tiga klon ubi keledek ungu dipilih berdasarkan potensi hasil dan kandungan antioksida antosianin yang tinggi. Semua klon itu diuji dengan ditanam di lokasi berbeza dan dilihat dari segi kestabilan varieti di bawah pengaruh persekitaran. Akhirnya terhasil varieti ubi keledek ungu Anggun 1, 2 dan 3 yang dibezakan bentuk ubi dan daunnya," katanya.

Menurutnya, keledek ungu Anggun ditanam dalam skala besar pada tahun lalu di beberapa kawasan antaranya Kelantan, Perak, Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Berbeza dengan ubi keledek ungu lain, varieti ubi keledek ungu Anggun hasil penyelidikan Mardi itu mempunyai bahan antioksida antosianin yang tinggi.

Antosianin merupakan pigmen ungu pada kulit, isi dan keseluruhan ubi, yang memberi kesan positif pada kesihatan dan kurangkan risiko penyakit berbahaya.

Tanaman mudah dijaga

Keledek ungu Anggun juga mudah hidup walaupun dalam keadaan tanah yang rendah kesuburannya dan tidak mudah diserang penyakit perosak jika tanaman diselenggarakan dengan baik dan menggunakan teknik penanaman yang betul.

Saintis Mardi, Rosnani Abd Ghani berkata, tempoh penanaman dalam masa singkat iaitu boleh dituai antara tiga bulan setengah hingga empat bulan dan mendatangkan hasil tinggi antara 20 hingga 30 tan sehektar pada satu musim.

Dari kiri, Dr Faridah, Nurul Afza dan Rosnani bersama hasil penyelidikan serta pembangunan produk ubi keledek ungu Anggun.

"Penjagaannya mudah dan hanya perlu penjagaan rapi pada tempoh sebulan pertama dari segi kuantiti air diperlukan. Selepas sebulan, tanaman tidak perlu disiram setiap hari, memadai siraman setiap tiga atau empat hari sekali sahaja.

"Ubi ditanam guna keratan diambil daripada benih berusia dua hingga tiga bulan untuk pertumbuhan cepat. Pemilihan benih sihat penting untuk elak penyakit perosak. Jika lambat dituai, ia mudah terkena serangan," katanya.

Bagi merancakkan produktiviti, Rosnani berkata, Mardi keluarkan buku manual pengeluaran ubi keledek ungu Anggun yang boleh dijadikan panduan untuk pengusaha.

Potensi komersial

Sementara itu, saintis Mardi, Dr Faridah Hussin berkata, kebanyakan hasil ubi keledek ungu dijual untuk pasaran segar yang terdapat di pasar mahupun pasar raya besar.

Dr Faridah berkata, industri makanan berasaskan ubi keledek terlalu kecil kerana banyak diguna dalam pembuatan makanan tradisional seperti kuih-muih dan kerepek.

Namun, katanya, potensi komersial ubi keledek ungu tinggi jika dipelbagaikan dari segi prospek penggunaannya kerana ia kaya dengan kandungan karbohidrat, setanding dengan gandum dan ubi kentang, selain mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

"Sejak RMK10, Mardi bangun produk minuman kaya antosianin, sapuan keledek ungu dan minuman pra campuran kaya antosianin.

Antara produk dihasilkan daripada ubi keledek ungu Anggun.

"Selain itu, pada RMK11, kami pelbagaikan pembangunan produk menggunakan keledek ungu Anggun seperti aiskrim, bar, cakar ayam, gula-gula, sos, donut, french fries dan banyak lagi," katanya.

Sehingga kini, katanya, belum ada lagi produk tersebut dikomersialkan dan Mardi sedia bantu mana-mana usahawan berminat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA Biotechnology Corporation (MBC) membina pusat penyelidikan Melaka Biocity, Alor Gajah dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM200 juta bermula tahun depan.
  • DALAM usaha membangunkan sektor biomas negara, Universiti Nottingham Malaysia Campus (UNMC), Eureka Synergy Sdn Bhd dan Cenergi SEA Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman bagi penyelidikan dan pembangunan teknologi sisa bersepadu serta sistem kitar semula air.
  • PUSAT Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) Labuan dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (Inceif) akan bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran berhubung pengurusan kekayaan mengikut cara Islam di peringkat antarabangsa, terutama melalui penyelidikan dalam industri.