PERODUA telah melancarkan Kempen Kemalangan Sifar bagi 10,300 pekerjanya di seluruh negara sebagai fasa seterusnya selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya pada Oktober 2017 untuk membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Di bawah kempen ini, Perodua menyasarkan kemalangan jalan raya sifar melibatkan kakitangan pergi dan pulang dari tempat kerja serta kemalangan industri semasa menjalankan tugas  menjelang 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, kempen ini adalah inisiatif pertama pihak syarikat khas untuk kakitangan.

"Ia melibatkan bahagian pengeluaran, penjualan dan lepas jualan, agar mereka boleh menjadi contoh pemandu baik dan berhemah,” katanya selepas merasmikan  Kempen Kemalangan Sifar Perodua, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah JKKP Kedah, Hairozie Asri, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin dan Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kumpulan Perodua.

Kempen Kemalangan Sifar Perodua ini disokong Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Aminar berkata, walaupun isu pengurangan dan penghapusan kemalangan industri memang menjadi tumpuan utama Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, kami kini memperluaskan tumpuan kami kepada aspek perjalanan di luar premis kami.

“Kami percaya bahawa penyemaian tabiat pemanduan yang baik bermula di rumah dan kami akan sentiasa mendidik kakitangan kami berhubung dengan keselamatan serta menjadi pemandu yang bertanggungjawab supaya mereka boleh menjadi contoh terbaik buat semua,” katanya.

Tambahnya, Perodua akan memperoleh pengajaran dan pengalaman daripada kempen ini untuk memanfaatkan Kempen lima-tahun Keselamatan Jalan Raya Perodua.

“Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya dengan mendidik para pemandu tentang kepentingan memahami dan mematuhi peraturan asas jalan raya seperti memakai tali pinggang keledar, menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak, meng­gunakan lampu isyarat membelok serta tidak menggunakan peranti mudah alih semasa memandu.

“Kami memilih pendidikan sebagai pendekatan kami kerana kami percaya kebanyakan pemandu Malaysia tahu mengenai peraturan jalan raya, tetapi mereka mungkin tidak memahami sebab-sebab di sebalik peraturan tersebut.

“Sudah tentu pendidikan akan mengambil masa yang lama, tetapi apabila mereka memahami sepenuhnya, kesannya akan menjadi lebih kuat," katanya.

Kempen Kemalangan Sifar Perodua akan dilancarkan secara berperingkat bermula dari 13 Ogos hingga akhir tahun ini.