INDEKS Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang mengukur kadar inflasi secara menyeluruh, meningkat 1.8 peratus kepada 121.1 pada Mei 2018 berbanding 119.0 bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Perangkaan berkata, kumpulan utama yang mencatat peningkatan adalah indeks pengangkutan (+3.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+2.2 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.1 peratus), restoran dan hotel (+2.1 peratus), kesihatan (+1.9 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+1.5 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding April 2018.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks keseluruhan itu turut terjejas akibat peningkatan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 3.8 peratus pada Mei.

“IHP bagi Januari hingga Mei mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2017,” katanya. -Bernama