DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi), bekerjasama dengan Medilife Ambulance Services (Medilife) untuk menggunakan iFleet, penyelesaian pengurusan kenderaan (telematik) pintar, ke atas ambulans Medilife.

Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan berkata, iFleet akan membantu syarikat tersebut mengesan dan menjejak lokasi ambulans milik mereka untuk ke lokasi kecemasan dengan segara.

"Apabila teknologi ini digunakan untuk perkhidmatan yang menawarkan situasi kecemasan, ia membolehkan ambulans tiba ke lokasi kejadian lebih cepat tanpa melalui pelbagai keterbatasan.

"Teknologi ini juga lebih mudah digunakan berbanding sistem GPS tradisional yang besar dan sukar dipasang di dalam kenderaan seperti ambulans," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Medilife, Dr A Rasheed Ahamed memberitahu, kerjasama tersebut sangat memudahkan sistem operasinya yang berpusat di Sepang, Selangor dan Pulau Pinang.

"iFleet dapat membantu perkhidmatan kecemasan kami untuk bertindak dengan lebih cepat untuk ke lokasi kejadian seterusnya memastikan pesakit dapat tiba ke hospital dengan selamat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya dengan penggunaan iFleet, ia menepati sasaran pihak Kementerian Kesihatan yang mahu menempatkan ambulans di lokasi-lokasi berisiko seperti plaza tol dan beberapa kawasan penting lain sekitar bandar raya sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan atau nahas.

"Ia sesuai dengan operasi kami di seluruh negara, 24 jam sehari dan 365 hari setahun.

"Dan tempoh purata menunggu ambulans juga boleh dikurangkan kerana pusat Medilife boleh memaklumkan ambulans paling hampir dengan lokasi kecemasan dan menganggarkan masa ketibaan dengan lebih mudah," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :