JERTIH - “Saya berterima kasih kepada pengundi dan penyokong BN di Parlimen Besut kerana jika tidak disebabkan anda semua dan penyokong, sudah tentu saya tidak mampu berada pada kedudukan sekarang.”

Demikian ungkapan pertama yang diucapkan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh ketika berucap di hadapan penduduk Besut yang menyambut kepulangannya di pekarangan Bangunan Umno Bahagian Besut, semalam.

Idris yang  pertama kali pulang ke Besut selepas mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet kelmarin tiba di sini, jam 5.22 petang.

Kepulangan beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Besut disambut meriah apabila diiringi puluhan kenderaan pacuan empat roda daripada Kelab 4x4 Geduut dan Belantan bermula di sempadan Besut- Setiu dekat Kampung Anak Ikan yang turut disertai paluan gendang di atas lori.

Masa untuk bekerja

Dalam ucapannya, beliau memberitahu mengenai pelantikannya sebagai menteri berkenaan pada jam 2 petang Rabu selepas mendapat panggilan memaklumkan berita tersebut.

“Saya berterima kepada rakyat khususnya penyokong dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin kementerian yang penting ini,” katanya sambil melaungkan perkataan ‘Gelombang Biru’ diikuti hampir lebih 500 orang ramai yang menyambutnya.

Hadir sama, pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komuniti yang juga Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, Adun Jertih, Muhammad Pehimi Yusof, Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Idris turut berjanji akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama dalam soal memartabatkan pendidikan negara.

Sementara itu, beliau turut menyelar sikap pembangkang yang berterusan mengadakan protes terhadap keputusan pilihan raya, sebaliknya menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.
“Sekarang sudah masa untuk bekerja demi negara dan cukup-cukuplah daripada mengadakan demonstrasi,” katanya.

Mantapkan Taman Ilmu

Nawi pula secara berseloroh dalam ucapannya terdahulu sebelum itu meminta ketuanya mempertimbangkan sebuah kolej di kawasan Hulu Besut memandangkan kawasan tersebut belum ada sebuah institusi sedemikian.

Beliau turut menyatakan akan memanjangkan cadangan kepada Kerajaan Negeri agar Taman Ilmu di Tembila dekat Kampung Raja  yang kini di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri diserahkan kepada Kementerian Pelajaran.

“Saya dan Dr Rahman akan membawa perkara ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said agar Taman Ilmu diserahkan kepada Kementerian Pelajaran demi pemantapan Taman Ilmu,” katanya.

Rata-rata penduduk yang ditemui teruja dengan pelantikan Idris dan berharap pelantikannya akan menyumbang kepada pembangunan serta kecemerlangan pelajaran bukan sahaja di Besut, tetapi di seluruh negara.

Beliau adalah pemimpin daripada Umno ketiga di Besut yang dilantik sebagai menteri penuh setakat ini apabila sebelum ini bekas Ketua Umno Bahagian Besut, Tan Sri Dr Yusof Noor pernah menyandang Menteri Pembangunan Usahawan dan Datuk Abdullah Mat Zin pula pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - PKR mendakwa setelah empat tahun pasca PRU13, BN masih tidak menepati janjinya untuk merealisasikan segala manifesto yang mereka janjikan.
  • KUALA TERENGGANU - Pembangkang desak kerajaan negeri mengemukakan janji-janji manifesto yang sudah tertunai kepada rakyat termasuk tambahan 18 perkara baharu dalam manifesto PRU13 lalu.
  • SUNGAI RETANG - Pihak berkaitan digesa menyiapkan projek Rumah Generasi Baharu di tanah rancangan di sini yang bermula kira-kira tiga tahun lalu mengikut tarikh ditetapkan.
  • IPOH - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak mendokumentasikan individu yang dikenal pasti terbabit dalam beberapa insiden pergaduhan pada PRU13 lalu.
  • KEMASEK - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya, perhimpunan haram dirancang diadakan pada 31 Disember ini hanya bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap beberapa pembohongan ditabur pembangkang setelah gagal menawan Putrajaya pada PRU13 lalu.