$entry.content.caption.value
Dewan Perniagaan Istanbul (ICOC) menyasarkan 15,000 pengunjung bakal membanjiri Pameran Produk Turki ketiga yang dijangka turut menjana kira-kira 1,000 padanan perniagaan bakal diadakan pada 1 hingga 3 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kaunselor Komersial dari Kedutaan Turki di Kuala Lumpur, Hasan Onal, berkata, pameran ketiga itu bakal dihadiri 70 syarikat Turki yang mana 80 peratus daripadanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurutnya, syarikat terkemuka yang mewakili Turki akan mempamerkan pelbagai produk termasuk jentera, automatif, bahan binaan termasuk jubin dan seramik, bahan kimia, produk perindustrian, makanan, kosmetik dan artikel hiasan seperti tekstil.
“Kerajaan Turki serius melihat Malaysia sebagai salah satu rakan dagang utama Turki di Asean yang sekali gus akan membuka pintu dalam meningkatkan operasi perdagangan dua hala di rantau ini bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan.
“Kami berharap menerusi pameran ini dapat membuka mata lebih ramai syarikat di Malaysia menjadikan Turki sebagai salah satu destinasi pelaburan pada masa akan datang,” katanya.
Hasan berkata, Turki turut berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (FTA) akan dimeterai sebelum pertengahan 2012 bagi memperbaiki tahap perdagangan dua hala, sekali gus meningkatkan pelaburan dan perdagangan dengan lebih ketara.
Menurutnya, jumlah dagangan dua hala Malaysia dan Turki turut dijangka meningkat daripada AS$1.750 bilion (RM5.33 bilion) tahun lalu kepada AS$1.8 bilion (RM5.47 bilion) hingga AS$2 bilion (RM6.09 bilion) pada 2012.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





