SYARIKAT Bumiputera mengusahakan pakaian Muslimah patuh syariah dan kontemporari berjenama Humaira Design, Humaira Design Sdn Bhd (Humaira Design), melaburkan kira-kira RM1.7 juta membeli bangunan baharu untuk meningkatkan operasi dan kapasiti pengeluaran pakaiannya.

Pengarahnya, Adnan Abd Aziz berkata, jumlah pelaburan itu bagi membiayai pembelian dua lot bangunan tiga tingkat, pengubahsuaian dan mesin baharu yang dijangka akan memenuhi permintaan pakaian Humaira Design untuk  pasaran domestik dan eksport.

Menurutnya, setakat ini, Humaira Design ada  dua kilang sahaja dan beliau yakin dengan kilang baharu yang mempunyai 30 mesin pelbagai fungsi ia akan memacu pengeluaran 25,000 sehingga 30,000 pakaian sebulan.

"Humaira Design optimis dengan adanya bangunan baru ini ia akan membantu mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar pakaian Muslimah dan mendorong peningkatan jualan 25 peratus tahun ini.

"Syarikat juga merancang mengembangkan perniagaan ke luar negara dengan menyertai pelbagai program antaranya Best Exporter," katanya pada sidang media majlis perasmian kilang baharu Bandar Perda, Pulau Pinang.

Turut diadakan pada majlis itu ialah pemberian sumbangan kepada 60 pelajar dari sebuah pusat tahfiz.

Beliau berkata, setakat ini, Humaira Design bukan sahaja mendapat permintaan tinggi dari Singapura dan Brunei, malah menembusi pasaran Mesir, Australia, Rusia, Korea, Kanada, Amerika Syarikat dan New Zealand.

Adnan berkata, Humaira Design terus menampilkan pelbagai rekaan dan inovasi pakaian baharu untuk keselesaan pengguna yang elegan dan kontemporari.

"Penggunaan material berkualiti, tidak nipis dan tidak panas serta serap peluh dapat meningkatkan keselesaan pemakai,” katanya.

Tambahnya, Humaira Design  untuk masa depan mereka akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan tempatan untuk menjadi ejen atau pemborong dari seluruh negara terutamanya dari Lembah Klang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

"Kami mempunyai 60 ejen dan menjangkakan akan membuka butik baharu di Bangi, Selangor pada 2020 kerana mendapat permintaan tinggi di sekitar Lembah Klang. Kami juga membuka peluang kerjasama dengan ejen dari Singapura, Brunei, Thailand, Myanmar dan Indonesia  untuk pasaran antarabangsa," katanya.

Harga ditawarkan  RM39.90 sehingga RM62.50 bagi dewasa. Kanak-kanak RM27.50- M29.50,” katanya.