PENGELUAR dan pencipta produk formula pelbagai produk makanan kesihatan, pelangsingan badan dan kecantikan, Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM) mahu mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tempatan dan menyasarkan pendapatan perolehan RM10 juta menjelang akhir tahun ini. 

Pengasasnya, Datuk Dr Che Rozmey Che Din atau Dr Rozmey berkata, sasaran itu dipacu promosi besar-besaran melalui pengiklanan agresif dalam media sosial dan media konvensional dengan peruntukkan kira-kira RM100,000 sepanjang tahun ini.

Katanya, selain promosi, produknya Jus Mate 5, dR-II, dR101, Gain 5, dRQ10, Silky dR dan dR-Liver berkualiti dan diyakini kerana testimoni beberapa pengguna menunjukkan keberkesanannya.

"Setakat ini, kami menjual produk sebanyak 2,000 unit sebulan dan menjangkakan lebih 50,000 menjelang akhir tahun ini. 

"Selain itu, kami hanya menjual produk kami melalui atas talian (online) sahaja.

"Produk kami, Jus Mate 5 paling laris dan menyumbangkan 75 peratus kepada perolehan syarikat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr Rozmey berkata, syarikatnya juga memperkenalkan duta baharu, seorang guru, Mohd Khariri Mohamad Ramli, 39, yang berjaya menurunkan berat badannya daripada 120 kilogram kepada 70 kilogram dalam tempoh tiga bulan selepas mengambil produk Jus Mate 5.

Mengulas mengenai isu penggantungan keahlian selama dua tahun oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Dr Rozmey berkata, dia akur terhadap keputusan itu, namun mempertahankan tindakannya memperkenalkan diri dalam iklan produk kesihatan sebagai usahawan.

"Persepsi masyarakat terhadap produk saya berubah dan jualan terjejas. Saya menanggung kerugian mencecah RM200 juta," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu kembali untuk memajukan perniagaannya yang pernah menjadi fenomena satu masa dahulu.

"Syarikat merancang untuk mengeluarkan produk baharu iaitu kosmetik dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.