$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU - Hotel Permai Kuala Terengganu mensasarkan perolehan RM8.5 juta bagi tahun ini dengan perkembangan perniagaan yang semakin menyakinkan.
Pengurus besarnya, Azman Ali berkata, hotel yang dijenamakan semula melalui pengurusan baru sejak 2010 yakin perolehan tertinggi itu dapat dicapai.
"Ia dilakukan dengan memperkukuhkan strategi pemasaran termasuk melalui promosi berkesan di samping terus meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Kita mahu hotel ini sinonim dengan pengenalan Terengganu. Itulah inisiatif yang dilakukan oleh pihak hotel bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara menginap di sini," katanya.
Katanya, perolehan hotel dengan 220 bilik itu meningkat daripada RM7.3 juta pada 2010 kepada RM7.7 juta pada tahun 2011 ketika industri pelancongan Terengganu semakin berkembang.
Beliau turut menggalakkan penglibatan hotel dalam pelbagai kegiatan luar agar dapat bersama-sama kerajaan mengembangkan industri ini dan mendekatkannya dengan masyarakat.
"Ini termasuk dalam kegiatan sukan kapal layar dan berbasikal di samping kami turut merancang menganjurkan pesta sukan pantai," katanya. - Bernama





