HONDA Malaysia Sdn Bhd mencatatkan jualan sebanyak 109,511 unit kenderaan sepanjang 2017, sekali gus menjadi yang tertinggi dalam sejarah penubuhan Honda Malaysia sejak 2003.

Jumlah jualan ini merupakan yang tertinggi bagi kenderaan bukan nasional yang pernah di capai di Malaysia setakat ini.

Penyumbang jualan adalah daripada kawasan tengah sebanyak 47 peratus, diikuti selatan dan utara, masing-masing mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 19 peratus berbanding 91,830 unit pada 2016.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasinya, Toichi Ishiyama berkata, 2017 merupakan tahun yang sangat bermakna untuk Honda Malaysia.

"Pada awal tahun lalu, kami menyasarkan jualan 100,000 unit kenderaan dan pada Mac lalu, kami mencapai pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dalam sejarah Honda Malaysia.

"Pada akhir 2017, berdasarkan kepada data dalaman, kami menguasai pasaran sebanyak 19 peratus iaitu peningkatan 3.2 angka daripada 2016," katanya.

Menurutnya, tahun lalu juga merupakan tahun pertama Honda Malaysia mencapai jualan 100,000 unit kenderaan di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan nombor satu bagi segmen kenderaan bukan nasional dan nombor dua bagi jumlah jualan kenderaan (TIV) dalam industri automotif.

Setelah meninjau prestasi 2017 yang cemerlang, Honda Malaysia bakal  hadir dengan satu lagi tahun yang berjaya dengan banyak produk dan perkhidmatan yang menarik dalam perancangan.