MURAH dan sedap! Hidangan di kedai makan, Shellero Sek Kito di Dataran Kesedar, Gua Musang, Kelantan sememangnya memenuhi selera.

Diusahakan seorang wanita, Rosmini Mat Rashid, 36, hidangan lengkap termasuk air hanya RM3 sahaja.

Berani meletakkan harga antara termurah di daerah ini, Rosmini memberitahu, tindakannya itu lebih kepada menjaga pelanggan tetap.

“Lima tahun saya mengusahakan kedai ini dan mula memperkenalkan hidangan bajet selepas kejadian bah kuning 2014 kerana ketika itu bukan sahaja saya, malah rakan-rakan niaga yang lain pun terkesan.

“Lalu, saya perkenalkan hidangan bajet bagi menarik pelanggan semula. Memang saya tidak terlalu sasarkan keuntungan tapi lebih kepada ‘mengikat’ pelanggan.

“Tambahan pula, pelanggan tetap saya kebanyakannya masyarakat setempat termasuk pelajar kolej yang mahu berjimat dalam perbelanjaan,” katanya.

Jelas Rosmini, antara hidangan murah sering menjadi pilihan adalah aneka nasi goreng, mee goreng, mee sup dan maggie dengan percuma teh O beng.

“Hidangan yang mendapat sambutan adalah nasi goreng kerabu dan nasi ayam kumpoo. Alhamdulillah, dalam sehari, tempahan mencecah sehingga 60 hidangan.

“Saya  juga tawarkan hidangan lain termasuk makanan Barat seperti chicken chop dan nasi ayam penyet.

“Saya lebih seronok melihat pelanggan datang ramai kerana kebanyakan golongan kurang mampu akan pilih kedai saya untuk menjamu selera keluarga,” katanya.

Beroperasi dari jam 5.30 petang hingga 2 pagi, Shellero Sek Kito dibuka empat hari seminggu iaitu Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu sahaja.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :