PERSOALAN:

Acara tahunan syarikat seperti sambutan hari keluarga yang melibatkan seluruh warga kerja sedari pucuk pimpinan tertinggi sehinggalah kepada staf bawahan ada sesetengah majikan melihatnya sebagai sesuatu yang tidak penting malah lebih dari itu ada yang mengatakan ia sebagai pembaziran.

Dalam pada itu, ada perspektif lain pula mengatakan acara-acara sebegini dapat mengeratkan hubungan ketua atasan dengan staf bawahan. Malah, sesi lebih santai tersebut lebih mendekatkan sesama warga syarikat.

Persoalannya, apakah jalan penyelesaian paling wajar bagi mendepani dua pandangan ini, agar usaha yang mana asalnya bertujuan murni ini tidak menjadi isu yang didebatkan dalam kalangan warga kerja?

JAWAPAN:

Di masa kini, keperluan kepada pekerja didampingi (employee engagement) dikira satu perkara yang penting di dalam menjadikan kesemua ahli pasukan sentiasa bersemangat, produktif dan menyumbang kepada misi dan visi perniagaan.

Acara-acara seperti hari keluarga adalah salah satu cara bagi kesemua warga syarikat berkumpul dan bersosial berdasarkan program-program yang telah disediakan.

Apa yang membezakan di antara satu perniagaan dengan perniagaan yang lain ialah falsafah dan pendekatan yang digunakan untuk mendampingi pekerja.

Ada yang mendampingi pekerja sekali sekala dan dibuat kerana “semua orang buat perkara yang sama” dan ada pula yang memasukkan pendampingan pekerja sebagai satu teras strategik. Tentunya kaedah yang kedua lebih ikhlas dan boleh menyentuh hati.

Pendampingan pekerja bukan terhad kepada interaksi sosial beberapa kali setahun. Ia perlu dirancang dengan teliti dengan matlamat dan dapatan yang jelas. Ia boleh juga menggunakan pelbagai kaedah termasuk media sosial.

Contohnya, jika perniagaan mahu setiap pekerja berpeluang memberi pandangan mereka ke atas apa saja perkara yang berkaitan dengan syarikat, orang atasan boleh mengadakan sesi perbincangan berkelompok secara santai dari masa ke semasa. Jika ini kerap diadakan, mesejnya jelas, orang atas mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku di bawah. Kesannya amat kuat.

Mengadakan pendampingan secara langsung melalui media sosial seperti Facebook Live membolehkan pekerja memberi reaksi yang langsung dan cepat. Ini lebih sesuai dengan generasi internet yang kehidupan mereka berkitar di media sosial.

Apa yang lebih penting ialah tindakan selepas acara-acara pendampingan. Ada pembaharuan diperkenalkan? Masalah pekerja yang diluahkan di dalam sesi-sesi pendampingan diselesaikan? Atau, adakah orang yang meluahkan perasaan dan cadangan diambil tindakan? Reaksi pengurusan sama ada positif atau negatif akan diperhatikan dan akan membentuk budaya di dalam perniagaan berkenaan.

Pendampingan pekerja perlu dilakukan dengan ikhlas bagi memperkukuhkan persahabatan dan semangat kekeluargaan di dalam perniagaan. Ia bukan hanya untuk ditayang-tayang.

Tentunya pekerja boleh membezakan mana yang bersungguh dan mana yang hanya satu drama.

***Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, pengasas Inovastra Capital Sdn Bhd