HARGA barang di pasar raya besar dijangka tidak akan naik bulan ini walaupun cukai jualan dan perlhidmatan (SST) sudah mula dikuatkuasakan sejak 1 September lalu.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, ini kerana pengusaha dalam sektor berkenaan termasuk Mydin rata-ratanya menyimpan stok yang mencukupi dan harga dijangka mula akan naik selepas September.

Disebabkan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik (panic buying) dengan membeli barangan keperluan dalam kuantiti banyak kerana bimbang kenaikan harga.

"Pasar raya besar hanya jual keperluan asas dan harian. Jadi tidak perlu pengguna beli barangan seperti minyak masak dalam kuantiti banyak dan sebagainya. Saya tak jangkakan harga akan naik September ini kerana kami mempunyai 'stock up' untuk pastikan kami boleh jual dengan harga terendah.

"Sudah tentu selepas September, harga barang akan naik, tetapi tidak bolehlah kita bandingkan dengan harga ketika tiada cukai (tax holiday). Kita kena bandingkan harga dengan tiga bulan sebelum 'tax holiday'. Namun kebanyakan barang dikenakan SST lima peratus adalah produk dalam tin, manakala SST 10 peratus terdiri daripada produk seperti kosmetik dan pakaian yang bukan dibeli setiap hari," katanya kepada media selepas majlis kerjasama antara Boost dan Mydin, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Banyak lagi ke barang dikecualikan SST akhir tahun ini?]

Sebelum ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjangkakan kira-kira 6,400 jenis barangan akan dikenakan SST berbanding 11,197 barangan yang dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelumnya.

Bagaimanapun, pada 1 September lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan mengkaji semula senarai barangan yang dikenakan SST dan pindaan senarai itu akan dibuat hujung tahun ini.

Selain itu, Ameer berkata, tiga hari sebelum SST dikuatkuasakan, beliau mengakui perniagaan Mydin meningkat antara 20 dan 30 peratus disebabkan situasi pembelian panik.

Bagaimanapun, katanya, Mydin tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana terikat dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

"Saya tidak boleh buat begitu (naikkan harga sesuka hati) sebab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan pantau dan ambil tindakan nanti," katanya.