FIESTA Halal Malaysia (Halfest) Giant 2018, sebuah ekspo halal terbesar di Malaysia menawarkan harga murah produk dan perkhidmatan halal.

Tahun ini ia dianjurkan Shapers Malaysia Sdn Bhd (Shapers Malaysia), pengendali Pasaraya Besar Giant, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail), bersama Country Heights Holdings Berhad dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, Halfest Giant 2018 memasuki edisi ketujuh akan disertai Giant sebagai penganjur bersama bagi memastikan acara tahunan itu dianjurkan dengan lebih baik pada tahun ini.

Menurutnya, Halfest Giant 2018 akan menempatkan 677 ruang pameran dengan anggaran 500 pempamer terdiri daripada jenama runcit besar, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelbagai institusi kewangan dan syarikat takaful.  

"Halfest Giant 2018 bertemakan 'Halfest Giant Super Berbaloi Warehouse Sale' ini adalah ekspo yang berpusat kerana ia sebagai platform kepada usahawan PKS mempromosikan produk dan perkhidmatan halal dalam pasaran tempatan sekali gus berperanan menemukan mereka yang terlibat dalam bidang pembuatan, pengedar, pengimport dan agensi untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan ditawarkan usahawan,” katanya.

Tambahnya, Halfest Giant 2018 akan berlangsung lima hari bermula 26 September ini di Pusat Pameran Mines (MIECC), Kuala Lumpur, bermula jam 11 pagi hingga 9 malam.

Catat nilai transaksi RM3.5 juta

Jelasnya, ekspo tersebut sentiasa dapat sambutan setiap kali diadakan dan menjangkakan mencatatkan nilai transaksi RM3.5 juta.

"Kami berkeyakinan sasaran itu mampu dicapai berikutan sambutan terhadap ekspo tersebut yang dikunjungi penduduk tempatan tetap dan luar negara antaranya Singapura, Indonesia dan Hong Kong.

"Kebanyakan pengunjung luar berkunjung untuk melihat sendiri produk dan perkhidmatan ditawarkan serta melakukan perbincangan perniagaan. Kami juga menjangkakan acara ini mampu menarik 150,000 pengunjung sepanjang lima hari berlangsung.  

"Halfest Giant 2018 menawarkan pelbagai segmen produk halal pada harga terendah dan pemberian diskaun antara 15 sehingga 20 peratus bagi bantu pengguna menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Tambahnya, pengunjung berpeluang menikmati diskaun bagi bermacam pilihan produk popular di samping penganjuran pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga dan usahawan yang mengambil bahagian.

"Antara aktiviti diadakan ialah 10 demo masakan 'Workshop' Bersama Chef Zam dan 10 demo masakan juga pertandingan dapur cilik bersama Chef Jaafar Onn," katanya.

Galak banyak penyertaan

Mohd Shukri berkata, Halfest Giant 2018 adalah pameran perdagangan halal diadakan edisi ketujuh dan pada tahun ini ia disertai pelbagai jenama besar yang menyediakan produk halal dari sektor makanan, kosmetik dan perbankan Islam.

"Setakat ini, penyertaan produk dan perkhidmatan Halfest terdiri daripada 80 peratus makanan dan minuman, lapan peratus kosmetik, empat peratus  busana, tiga peratus perbankan dan selebihnya lain-lain,” katanya.

Katanya, Halfest Giant 2018 juga menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat Malaysia kerana ia mengetengahkan kebolehan syarikat yang mempunyai pensijilan halal daripada Jakim ke peringkat antarabangsa sekali gus melihat kemampuan syarikat dan pensijilan halal ini dalam kebolehpasaran produk.

"Kerjasama dengan Giant menunjukkan komitmen kedua-dua pihak dalam memainkan peranan bagi menyokong inisiatif kerajaan terhadap pembangunan industri halal,” katanya sambil memberitahu Halfest Giant 2018 turut mempelawa penyertaan usahawan kerana masih ada kekosongan lagi.

Katanya, mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi 03-62034433 atau layari https://www.halfest.com.